[VIDEO] Buaya tembaga Tasik Kiambang, Serendah masuk perangkap lepas hampir sebulan hantui penduduk


  • 112
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Seramai 11 kakitangan Perhilitan terbabit dalam proses pemindahan reptilia itu yang selesai pada 3 petang. — Facebook

KERISAUAN penduduk di sekitar Tasik Kiambang, Serendah, Selangor akhirnya terlerai selepas buaya yang dilihat berkeliaran di kawasan tersebut sejak hampir sebulan lalu akhirnya masuk perangkap pada Khamis.

Berita penangkapan buaya tembaga itu disahkan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh.

Menerusi laporan media tempatan, beliau berkata, reptilia itu dikesan masuk ke dalam perangkap yang dipasang ketika pemantauan dan penyelenggaraan berterusan yang dilaksanakan sejak 1 Disember lalu.

"Kehadiran reptilia jantan sepanjang kira-kira dua meter itu disedari kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 9.15 pagi.

“Kehadirannya disedari semasa anggota kami melakukan pemantauan harian,” katanya.

414431553_773443118158828_4733475612417307547_n

Buaya tembaga yang ditangkap di Tasik Kiambang, Serendah, Selangor, pada Khamis. — Facebook

Wan Mohd Adib berkata, buaya tembaga tersebut kemudian dipindahkan ke Paya Indah Wetland untuk pemeriksaan dan ditempatkan di pusat kuarantin.

Ujarnya, seramai 11 kakitangan terbabit dalam proses pemindahan reptilia itu yang selesai pada 3 petang.

Pada 11 Disember lalu, Majoriti melaporkan mengenai usaha Perhilitan Selangor yang memulakan operasi memasang perangkap susulan kehadiran haiwan reptilia tersebut di kawasan berkenaan.

Perkembangan itu sebelum ini menimbulkan kerisauan orang awam kerana ia merupakan destinasi popular dalam kumpulan pemancing ikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram