KELUARGA seorang wanita warga emas yang maut dibaham buaya berdekatan kediaman persaraannya bertindak memfailkan saman terhadap pengurusan kawasan perumahan terbabit kerana didapati cuai dalam memastikan keselamatan penduduknya.
Dalam kejadian pada 20 Februari 2023, Gloria Serge, 85, dibaham dan diseret sehingga mati oleh reptilia terbabit di sekitar kolam yang terletak di belakang rumahnya di Fort Pierce, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Dalam insiden berkenaan, wanita tersebut difahamkan sedang cuba melindungi anjing peliharaannya daripada diserang oleh buaya terbabit yang memiliki saiz sepanjang kira-kira 3 meter.
Kamera litar tertutup di kawasan komuniti perumahan golongan warga emas itu turut merakam detik-detik ketika reptilia tersebut bertindak naik ke darat dan menyerang Gloria yang ketika itu sedang berjalan di tepi kolam bersama anjing peliharaannya.
Keluarga wanita itu bertindak memfailkan saman terhadap Wynne Building Corp kerana mendakwa pihak pengurusan terbabit menjadi punca kepada kematian mangsa.
Gloria (duduk) bergambar bersama keluargaya. — Agensi
Keluarga Gloria turut mendakwa pihak pengurusan gagal tidak langsung menyediakan langkah keselamatan walaupun mengetahui mengenai kehadiran buaya berkenaan.
"Malah, kejiranan itu menamakan buaya khusus sebagai Henry kerana ia dilihat begitu kerap berada di tepi kolam tadahan ini," kata Gary Lesser, peguam mewakili keluarga itu.
Gary turut mendakwa bahawa bukan saja penduduk, malah kakitangan yang menjaga di pusat komuniti itu juga dipercayai kerap memberi makan kepada haiwan berkenaan yang dilaporkan sering dilihat di sekitar kolam terbabit.
Buaya yang membaham dan meragut nyawa Gloria. — Agensi
Pada masa sama, terdapat penghuni di komuniti berkenaan mendakwa papan tanda amaran mengenai kehadiran reptilia berkenaan hanya dipasang selepas kematian Gloria.
Gary berkata, pihak pengurusan turut menggalakkan ahli komunitinya untuk bersosial di tepi kolam berkenaan termasuk dengan meletakkan bangku di lokasi walaupun mengetahui mengenai bahaya serangan haiwan tersebut.
Lebih mengejutkan, Gloria dipercayai telah 'dipaksa' untuk membawa peliharaannya bersiar di kolam berkenaan dan diancam akan diusir jika tidak bertindak sedemikian.
Keluarga wanita tersebut menuntut sekurang-kurangnya $50,000 (RM237,000) sebagai ganti rugi dan merancang untuk membawa Wynne Building Corporation ke mahkamah, lapor WPEC.
Berikutan serangan tersebut, Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida telah bertindak menangkap dan membunuh buaya berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram