SEORANG ahli farmasi maut selepas kereta dipandu dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Jalan Sidam, Sungai Petani, Kedah pada Rabu malam.
Dalam kemalangan terbabit, mangsa yang maut di tempat kejadian, Siti Aisyah Idris, 23, memandu kenderaan jenis Toyota Yaris, sementara seorang penumpang wanita yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.
Ketika kejadian, Siti A’isyah dan rakannya yang berusia 23 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Kulim.
BACA LAGI: Rumah Khuzaimi Piee dipecah masuk, pasport dan Ysuku antara dirembat penjenayah
BACA LAGI: Lebih 2 orang samun Akhyar Rashid — Polis
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pejabat pertanyaan Trafik Kuala Muda menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta itu pada 9.30 malam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua wanita berkenaan dari Sungai Petani ke Kulim, manakala lori terbabit dari Kulim menghala ke Sungai Petani.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, lori tersebut dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan.
"Akibatnya, lori terbabit bertembung dengan kereta yang dinaiki dua wanita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pihak bomba dalam operasi mengeluarkan mangsa daripada kereta.
Jelas Wan Azharuddin, pertembungan itu menyebabkan penumpang kereta terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke HSAH, manakala pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, kedua-dua mangsa berasal dari Sungai Petani.
"Pemandu lori berusia 31 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencing terhadapnya didapati positif methamphetamine, amphetamine dan morfin dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan 1987 dan wanita yang cedera itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di HSAH," katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan rakaman dashcam yang dikongsikan, penunggang motosikal tersebut dipercayai tidak menyalakan lampu motornya hingga menyebabkan pemandu lori terbabit terkejut sebelum terbabas ke laluan bertentangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram