[VIDEO] Tayar lori melantun kena 2 kereta, pemandu cemas lebih 40 minit tersepit


  • 112
  • Rabu, 22 Mei 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan kereta mangsa akibat terhempap tayar lori di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

SEORANG pemandu cedera parah akibat tersepit selepas terlibat dalam satu kemalangan di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Izan Ismail berkata, kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Proton Iriz dan Proton Saga.

Katanya, kejadian berlaku berpunca daripada sebuah tayar lori yang tercabut dan melantun mengenai dua buah kenderaan terbabit.

BACA LAGI: Insiden pesawat SIA: Lelaki Britain sah maut kena serangan jantung

BACA LAGI: Trak pikap jatuh laut kena hempas ombak kuat hentak jejantas hubungkan feri di Banyuwangi

"Kejadian tersebut telah mengakibatkan mangsa lelaki yang memandu kereta Proton Iriz tersepit dibahagian pemandu.

"Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin lalu.

Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sedang dirawat di hospital berhampiran.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Suffian Abdullah memaklumkan pemandu Proton Iriz yang berusia 31 tahun itu cedera parah di bahagian kepala dan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, dua lagi pemandu lain yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujar beliau, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram