[VIDEO] Insiden pesawat SIA: Lelaki Britain sah maut kena serangan jantung


  • Benua
  • Rabu, 22 Mei 2024

Keadaan pesawat Singapore Airlines yang mengalami gangguan ketika dalam perjalanan ke Singapura. — Agensi

SEORANG lelaki warga Britain berusia 73 tahun disahkan maut dalam insiden pesawat Singapore Airlines (SIA) ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London, United Kingdom ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada Selasa.

Menurut laporan agensi, mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam pesawat.

Pengurus Besar Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Kitipong Kittikachorn berkata, kejadian berlaku ketika para petugas pesawat sedang menyediakan sarapan pagi kepada penumpang sebelum juruterbang melakukan pendaratan cemas di lokasi tersebut.

BACA LAGI: 'Terangkat sampai ke siling', pelajar Malaysia kongsi detik cemas insiden pesawat SIA

BACA LAGI: MAS hampir ditutup,ini 3 isu selain MYAirline pernah jejaskan syarikat penerbangan negara

Penerbangan itu mengalami gelora udara melampau secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow.

Dalam kejadian, seramai 30 penumpang cedera termasuk anak kapal yang kini sedang dirawat di hospital.

"Saya melihat semua bergelimpangan di mana-mana dan ramai kru cedera lebam," kata Kittikachorn pada Rabu.

Sementara itu, Singapore Airlines menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.

"Kami amat memohon maaf atas pengalaman traumatik yang dialami oleh penumpang dan anak kapal kami dalam penerbangan ini," kata syarikat penerbangan itu.

Pada masa sama, SIA berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk memberikan bantuan perubatan dan menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan bantuan lanjut.

Sebelum ini, pakar penerbangan, Alvin Lie dari Pusat Khidmat Pentadbiran Oceanic and Atmospheric Kebangsaan Amerika Syarikat menyifatkan insiden gelora yang dialami oleh SIA sebagai sangat ekstrem dan amat jarang berlaku.

Ini kerana lazimnya gelora seperti itu selalunya tidak akan menyebabkan kematian atau jumlah mangsa yang cedera.

Alvin Lie berkata, pesawat berkenaan berkemungkinan besar berhadapan dengan situasi yang disebut sebagai clear air turbulence (CAT).

"Kebiasaannya, gelora disebabkan oleh pergerakan awan dan juruterbang akan diberi amaran pada radar pesawat supaya mereka dapat mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan mengarahkan penumpang supaya segera mengenakan tali pinggang.

"Melihat kepada kesan terhadap pesawat berkenaan, beliau percaya bahawa pesawat terbabit mengalami isu CAT," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram