Nurul Masyitah perlu jalani beberapa lagi pembedahan


  • Massa
  • Selasa, 21 Mei 2024

Masyitah (duduk kanan) juga pernah mengharumkan nama negara selepas membantu pasukan perahu naga memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 2023. — Facebook

ATLET kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, yang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Johor pada 11 Mei lalu perlu menjalani beberapa lagi prosedur pembedahan dalam tempoh terdekat.

Memetik laporan Buletin TV3, abang Masyitah, Muhammad Syafiq Md Elias, 29, memaklumkan bahawa adiknya yang mesra disapa Uda itu mungkin perlu menjalani pembedahan lain bagi menutup luka pada belakang badan pada Selasa atau Rabu ini.

"Saya tidak pasti berapa kali lagi Uda perlu menjalani pembedahan, doktor kata seperti banyak lagi. Pembedahan plastik masih belum dijalankan dan Uda masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Setakat ini semua keperluan Uda mencukupi," katanya pada Selasa.

BACA LAGI: Pemandu mabuk tak mengaku salah langgar Nur Masyitah Lebuhraya EDL

BACA LAGI: Atlet kayak Malaysia parah diseret 600m pemandu mabuk di Lebuhraya EDL

2694835 (2)

Masyitah (kanan) cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu mabuk di Lebuhraya EDL, Johor pada Sabtu.

Masyitah yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik itu bagaimanapun sudah menjalani pembedahan pada bahu dan tulang pelvis di Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri, Johor sebelum ini.

Pada 11 Mei lepas, Masyitah yang juga pelajar semester enam Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan sebuah politeknik itu dirempuh pemandu mabuk dan diseret sejauh kira-kira 100 meter.

Tertuduh, R Dhinesh, 31, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada 16 Mei lalu.

Ketika prosiding tersebut, Dinesh turut didakwa memandu kereta Toyota Vios dalam pengaruh alkohol dengan kadar kandungannya dalam badan sebanyak 178 miligram (100 milimeter), 50 miligram melebihi daripada had ditetapkan iaitu 128 miligram (100 milimeter). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram