VIDEO seorang bapa warga China melutut memohon maaf kepada anak perempuannya yang masih remaja kerana tidak mampu membelikan telefon pintar mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet di China.
Menurut laporan Jinyun Video, rakaman itu diambil oleh seorang individu di Taiyuan, wilayah Shanxi di tengah China, pada 4 Mei lalu, selepas dia terserempak dengan pasangan bapa dan anak perempuan tersebut di tepi jalan.
Lelaki terbabit yang hanya dikenali sebagai Zhong berkata, dia menyedari mengenai insiden berkenaan apabila kedua-dua beranak itu bercakap terlalu kuat sehingga menyebabkannya boleh mendengar dengan jelas butiran perkara yang diperkatakan.
BACA LAGI: Selain bekas Pengerusi Bersih, ada 4 nama dicadang isi kekosongan jawatan Pengerusi SPR
BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR
Gadis itu menjerit kepada bapanya dan berkata: “Ibu bapa lain boleh membelikan anak mereka sebuah iPhone. Kenapa awak tak ada duit?”
Selepas pertengkaran yang berlaku itu, si bapa dilihat berlutut dan menggelengkan kepalanya sebagai tanda menyalahkan diri atas ketidakmampuan kewangannya.
Susulan daripada itu, remaja perempuan itu juga menengking bapanya supaya bangun kerana menanggap tindakan orang tuanya itu sebagai memalukan.
Zhong berkata dia yang berdiri berdekatan tempat kejadian, melihat insiden tersebut selama kira-kira lima minit.
Tangkap layar video terbabit yang tular di media sosial China.
Dia yang agak sedih dengan nasib menimpa lelaki berkenaan turut kemudiannya tampil menegur gadis tersebut.
"Saya rasa seperti mahu menamparnya," kata Zhong.
Klip itu tular di media sosial di China dan sudah ditonton 91 juta kali di Weibo serta enam juta kali di Douyin.
Kebanyakan warganet mengecam gadis itu dan mengkritik ketidakupayaan bapa terbabit untuk mendidik anak perempuannya dengan betul.
Video seorang bapa warga China melutut memohon maaf kepada anak perempuannya yang masih remaja kerana tidak mampu membelikan telefon pintar mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet di China.#majoriti#benua
Kredit > Agensi pic.twitter.com/CsVB4dGz72
— Majoriti (@majoritionline) May 22, 2024
Insiden ibu bapa atau datuk nenek yang terlalu memanjakan anak-anak mereka sering menjadi tajuk berita utama yang menarik perhatian masyarakat di tanah besar China.
Pada 2019, seorang budak lelaki berusia 10 tahun di wilayah Jiangxi Timur menarik rambut ibunya dengan kuat apabila wanita itu enggan membelikannya mainan di pusat membeli-belah.
Pada tahun lalu, seorang remaja lelaki menerima kecaman hebat kerana menendang dan memukul neneknya selepas dia menyuruhnya berhenti bermain permainan mudah alih dan menyerahkan semula gajet itu kepadanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram