BERAS Madani. Itu adalah antara kata kunci yang paling banyak digunakan dalam mana-mana enjin carian khususnya pada minggu ini.
Isu beras kembali menjadi topik bualan hangat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ia susulan keputusan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada Rabu.
Kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, kenaikan dari RM26 ke RM30 hingga RM33 bagi 10 kg juga sudah tiba masanya dilaksanakan selepas 18 tahun harga beras tidak naik sejak 2006.
Ujarnya, perkara tersebut juga sudah dibentang dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan memanipulasikan bekalan beras putih tempatan.
BACA LAGI: Beras Putih Malaysia Madani masih perlukan kelulusan Kabinet
BACA LAGI: Beras Putih Malaysia Madani masih perlukan kelulusan Kabinet
Dengan itu, rakyat perlu faham bahawa mulai 19 Februari ini, hanya akan ada satu jenis beras sahaja iaitu Beras Putih Malaysia Madani.
Banyak pihak yang menerima impak akibat pengenalan harga baharu beras ini.
Manakan tidak, sebelum ini ramai yang hairan dan tertanya-tanya ke mana 'hilangnya' beras tempatan? Hingga pelbagai alternatif terpaksa dilakukan kerajaan termasuk Jualan Rahmah beras import, tetapi masih tidak cukup-cukup.
Tup-tup, baru-baru ini kerajaan tampil pula dengan pengumuman penjenamaan semula beras putih tempatan dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Melihat sahaja perubahan harga daripada RM26 ke RM30 hingga RM33, 'bertaburan' pandangan yang disuarakan rakyat menerusi pelbagai platform.
Kerajaan mengumumkan penjenamaan semula beras putih tempatan dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, harga beras putih tempatan sebagai bahan makanan terkawal perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Beliau berkata, setakat ini, ia kekal sebagai inisiatif peribadi daripada pengerusi pasukan petugas Naccol yang menurutnya belum melalui proses sewajarnya.
"Tiada perbincangan atau kelulusan daripada kementerian berhubung perkara ini. Setakat ini, ia adalah inisiatif peribadi Syed Abu Hussin selaku pengerusi pasukan petugas dalam usaha menurunkan harga.
"Bagaimanapun untuk melaksanakannya di seluruh negara, ia memerlukan kelulusan daripada Naccol dan kemudiannya Kabinet,” kata Lokman, sambil menambah bahawa pengumuman seperti itu memerlukan penglibatan dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkenaan.
Dalam kesibukan pengguna media sosial lain mengecam, tidak kurang juga rakyat yang menyokong inisiatif berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook dengan nama Anak Sungai Derhaka, individu itu berpandangan bahawa pengenalan beras putih Madani adalah satu solusi dalam menangani masalah kekurangan beras tempatan yang sebelum ini dikatakan hilang disebabkan jurang harga yang besar dengan beras import.
Menurutnya, keadaan ini boleh disifatkan sebagai situasi menang-menang buat pihak terlibat.
"Akhirnya isu beras berjaya dinoktahkan. Kesannya? Petani, pengilang, pemborong dan peruncit rasa lega, pesawah dapat dibela dan pengilang rasa selesa.
"Rakyat juga dapat harga yang munasabah dan bekalan mencukupi.
"Lebih melegakan beras super tempatan dan beras super import disatukan iaitu hanya ada beras putih tunggal," katanya pada Jumaat.
Harga beras putih tempatan sebagai bahan makanan terkawal perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Tambahnya lagi, menyatukan beras tempatan dan beras import adalah keputusan yang wajar dibuat.
"Yang duk melalak marahkan kerajaan itu tanya mereka semula mana baik antara mencari beras tempatan yang harga RM26 tak jumpa-jumpa atau terpaksa beli beras import yang harganya RM42?
"Beras import di pasaran selama ini pun, ada juga yang dicampur dengan beras tempatan sebenarnya.
"Ada pula pengilang yang tidak berlaku jujur, menjual beras tempatan dengan pembungkusan beras putih import," ujarnya.
Malah jelas pengguna media sosial itu lagi, tidak keterlaluan untuk menganggap bahawa tindakan tersebut merupakan satu langkah yang tidak popular tetapi praktikal untuk dilaksanakan.
Jelasnya, usaha berkenaan juga bertujuan menghapuskan dua jenis beras putih yang boleh dimanipulasikan grednya kepada hanya satu jenis gred beras putih tempatan Madani.
"Harus ingat peningkatan ini juga adalah antara langkah untuk membantu pesawah yang rata-rata adalah golongan Melayu B40," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram