Siti Bainun tarik semula rayuan tangguh hukuman 12 tahun penjara


Siti Bainun dikenakan hukuman penjara atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak sindrom Down, Bella pada 2021.

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pada Isnin menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya menggantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lepas.

Peguamnya, Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya bahawa dia mendapat arahan daripada Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk menarik balik notis rayuan tersebut.

“Pihak kami juga mendapat arahan anak guam (Siti Bainun) untuk memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Tinggi,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan media tempatan.

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel

Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa tidak membantah penarikan balik rayuan tersebut.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin kemudian membatalkan rayuan berkenaan.

Siti Bainun sebelum ini memfailkan rayuan tersebut selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache pada 23 Mei tahun lalu menolak permohonannya menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa bagi membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman.

2672975

Bella ditemui berada dalam keadaan menyayat hati selepas diabaikan di pusat jagaan Rumah Bonda.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin pada 2 Mei lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas menolak rayuannya mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi pada 3 Mei 2023 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta-merta, selepas menolak permohonannya menangguhkan hukuman.

Siti Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu untuk menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram