PM Anwar pun pernah kena, 4 lagi ahli politik Malaysia terima ugutan bunuh seperti Teresa Kok


  • Massa
  • Selasa, 21 Mei 2024

Teresa Kok (kanan) menerima dua butir peluru bersama satu kertas putih A4 yang tertera perkataan ugutan bunuh diletakkan di peti surat kediamannya pada Sabtu. — Facebook/TeresaKok

PADA Ahad, politik negara dikejutkan dengan berita mengenai ancaman bunuh yang diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Bekas Menteri Industri Utama itu dilaporkan menerima dua butir peluru bersama satu kertas putih A4 yang tertera perkataan ugutan bunuh diletakkan di peti surat kediamannya sehari sebelumnya.

Susulan daripada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan sudah membuka kertas siasatan mengenai kejadian itu.

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel

Ancaman ugutan terhadap Teresa itu pastinya tidak boleh diambil mudah oleh pihak berkuasa.

Lebih-lebih lagi negara kini dikejutkan dengan beberapa siri kejadian serangan berprofil tinggi khususnya melibatkan beberapa pemain bola sepak negara dan juga tragedi serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor.

Dalam pada itu, insiden ancaman dan ugutan yang berlaku kepada Teresa itu bukan kes pertama yang melibatkan ahli politik di dalam negara.

Berikut Majoriti senaraikan beberapa insiden ancaman dan ugutan yang pernah berlaku terhadap ahli politik di Malaysia:

1. Muhammad Akmal Salleh

Pada 26 Mac lalu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh tampil membuat laporan polis susulan menerima ugutan bunuh dipercayai susulan kelantangan beliau mengenai isu jualan stoking kalimah ALLAH melibatkan kedai serbaneka KK Mart.

Beliau dihubungi seorang individu yang menyuarakan kerisauan mengenai ugutan bunuh bahawa beliau akan ditembak mati suatu hari nanti sekiranya masih meneruskan kelantangan tentang isu itu.

Ujarnya, ancaman itu dimaklumkan seorang individu tidak dikenalinya ketika beliau dalam perjalanan satu program di Lipat Kajang, Jasin, Melaka.

Ekoran daripada itu, polis Melaka pada hari sama memaklumkan sudah menahan suspek yang merupakan seorang lelaki warga emas berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit insiden kejadian ancaman itu berlaku kira-kira 3 petang 20 Mac lalu apabila pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar suspek iaitu pemilik bengkel kereta di Bukit Duyong yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Dr Muhammad Akmal berhubung isu KK Mart.

Katanya, dalam perbualan tersebut, suspek memberitahu pengadu bahawa pemimpin Umno itu pasti akan mati ditembak suatu hari nanti akibat kelantangannya dalam perkara tersebut.

Susulan daripada itu, pengadu tampil membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan Dr Muhammad Akmal yang juga ADUN Merlimau.

Suspek bagaimanapun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ugutan.

2. Anwar Ibrahim

2408162

Tangkap layar tular memaparkan seoang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Pada 26 November 2023, polis dilapor sedang menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial pada hari tersebut.

Ia selepas tersebar di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Video tersebut bagaimanapun kemudiannya segera dipadamkan.

Ugutan tersebut seterusnya dikenal pasti dilakukan oleh seorang pemandu lori.

Ekoran daripada itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 30 Januari lalu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana melakukan ancaman tersebut dengan tertuduh mengaku besalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya.

3. Akmal Nasrullah

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali bermula pada 24 Ogos tahun lalu.

Ketika itu, pejabat Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru yang juga dijadikan sebagai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru turut dibakar pada 28 Ogos, iaitu kira-kira empat hari kemudian.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, kebakaran tersebut berpunca daripada lima tayar yang dikumpulkan di hadapan pintu pejabat sebelum api dinyalakan.

Akmal yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, ekoran kebakaran itu, beliau kemudian memeriksa akaun media sosial miliknya sebelum mendapati telah menerima ugutan bunuh daripada seorang individu yang tidak dikenali.

1715483

Keadaan bahagian depan pejabat cabang PKR Johor Bahru yang juga dijadikan sebagai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru selepas dibakar pada 28 Ogos lalu.

Katanya, individu berkenaan meninggalkan satu mesej bertulis dan 27 mesej suara dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga hari sebelum kejadian kebakaran tersebut.

Dakwanya, individu yang memaki dan mengugutnya itu mengaku sebagai seorang penyokong Umno dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan tentang dua kejadian itu.

4. Syahredzan Johan

Pada 14 Ogos 2019, Syahredzan Johan yang ketika itu merupakan Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP menerima ugutan bunuh daripada seorang pengguna media sosial dipercayai susulan kenyataan yang dikeluarkan berkaitan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik.

Syahredzan yang kini merupakan Ahli Parlimen Bangi menerusi ciapan di Twitter memaklumkan mesej peribadi berhubung ugutan itu diterimanya di Facebook.

Interview with Shah Redzan Johan.-- M. Azhar Arif/The Star 08 Oct 2014

Syahredzan Johan

Beliau turut berkongsi tangkap layar ugutan tersebut yang berbunyi, 'Kau usir Zakir Naik, aku akan cari kau sampai dapat dan aku akan pisahkan kepala b*** kau tu dari badan kau. Ini sumpah kau demi agama Islam dan bangsa Melayu. Kalau berani cubalah'.

Sebelum itu, Syahredzan dalam satu kenyataan mencadangkan agar status penduduk tetap (PR) Zakir dibatalkan susulan kenyataan pendakwah itu baru-baru ini yang dianggap menghina masyarakat Cina dan India di Malaysia.

Beliau yang ketika itu merupakan seorang aktivis dan peguam kemudiannya tampil membuat laporan polis.

Bagaimanapun, individu terbabit kemudiannya membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Syahredzan di Facebook dengan beliau secara terbuka turut menerima permohonan maaf tersebut.

5. Datuk S. Krishnasamy

photo1716202714

Lif tempat Krishnasamy ditembak mati.

Sekitar 2008, politik MIC sedang mengharungi episod mengerikan selepas salah seorang ADUN daripada parti itu, Datuk S. Krishnasamy ditembak mati ketika berada di dalam lif di ibu pejabat MIC Johor di Johor Bahru.

Dilaporkan, kejadian itu dilaksanakan oleh pembunuh upahan.

Susulan daripada kejadian tersebut, Presidennya ketika itu, mendiang Tun Samy Vellu mendedahkan Krishnasamy pernah memberitahunya mengenai ancaman bunuh diterima ADUN Tenggaroh kira-kira dua minggu sebelum ditembak.

Pada masa sama, Samy Vellu berkata, dia juga menerima 10 hingga 15 panggilan seperti itu sehari daripada individu tidak dikenali yang membuat pelbagai tuduhan dan ugutan.

Tidak dapat dipastikan sama ada pembunuhan itu bermotifkan perniagaan mahupun politik.

Sehingga hari ini, kes pembunuhan yang meragut nyawa Krishnasamy itu masih tidak dapat diselesaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram