'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'


  • Massa
  • Rabu, 15 Mei 2024

Abdul Ghani (tengah) melepaskan jawatan sebagai Pengerusi SPR selepas perlu bersara wajib pada Mei.

BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpandangan tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan reformasi terhadap proses pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, amalan semasa pelantikan bagi jawatan berkenaan termasuk untuk kedudukan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi dilihat sudah cukup baik dan perlu dikekalkan memandangkan pelantikan itu adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, proses tersebut adalah sama seperti yang dilaksanakan bagi proses pelantikan bagi jawatan Hakim dan juga Peguam Negara.

BACA LAGI: Tak termakan isu perkauman, agama bukti Umno berjaya pujuk pengundi bantu tawan KKB

BACA LAGI: Pejabat KWSP sesak kerana akaun fleksibel, bukti rakyat terdesak, kesempitan

Pada waktu ini, beliau berkata, proses pelantikan ahli SPR bermula melalui cadangan nama daripada Perdana Menteri yang akan dibawa berunding melalui Majlis Raja-Raja Melayu dan kemudiannya dilantik oleh Agong.

"Jadi saya rasa dari segi aspek itu tidak boleh diubahkan sangat. Kita kena menghormati kuasa Agong dan kita juga kena hormati kuasa Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Pada 24 April lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan pelantikan ahli SPR perlu dilakukan melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, langkah itu penting untuk mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR yang mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula.

Sehubungan itu, BERSIH mencadangkan mekanisme pelantikan ahli-ahli SPR perlu melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya supaya proses berkenaan dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh Ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang.

Election Commission workers arranging ballot boxes at the SK Bintulu polling station in preparation for the Jepak by-election. - ZULAZHAR SHEBLEE / The Star

Petugas SPR terdiri daripada penjawat awam. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, gabungan terbabit dalam kenyataan terbaharunya berkata, langkah itu penting untuk dilaksanakan memandangkan ahli dan pengerusi SPR bakal dilantik akan mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula.

Untuk rekod, jawatan bagi Pengerusi SPR kini sedang mengalami kekosongan selepas persaraan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada bulan ini.

Mengulas mengenai kebimbangan berhubung kebebasan dimiliki oleh SPR, Wan Ahmad berkata, perkara itu disifatkan sebagai sesuatu persepsi politik tidak betul dimainkan pihak luar yang tidak mengetahui mengenai bagaimana SPR beroperasi.

"Sebenarnya sesiapa jadi Pengerusi SPR, beliau akan menjalankan tugas tanggungjawab dan amanahnya mengikut Perlembagaan dan Undang. Ini termasuk dalam isu nak buat persempadanan semula.

Perkara itu sudah termaktub dalam undang-undang, di bawah Perkara 113 dan 114 dengan jelas menyebut kaedah persempadanan semula dan dikawal oleh Jadual ke-13 Perlembagaan.

"Bukan Pengerusi SPR nak buat sewenang-wenangn untuk kepentingan dan kelebihan parti kerajaan dan sebagainya," ujarnya.

Ujarnya, persepsi kecurigaan terhadap kebebasan SPR itu juga disifatkan sama seperti tuduhan pernah dilemparkan terhadap suruhanjaya itu antaranya dalam isu kewujudan pengundi hantu dan ketelusan undi pos.

"Macam isu pengundi hantu atau undi pos, itu hanya persepsi untuk berikan gambaran ada usaha bagi bantu satu-satu pihak menang. Tapi kalau SPR bersikap tidak adil, macam mana ada parti pembangkang boleh memerintah satu negeri seperti Kelantan lebih 30 tahun," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-14 at 8.55.08 PM

Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan masih mempunyai ruang penambahbaikan terhadap proses pelantikan ahli SPR termasuk untuk jawatan Pengerusi khususnya bagi meningkatkan keyakinan orang awam.

Untuk tujuan itu, Wan Ahmad mencadangkan supaya Perdana Menteri lebih terbuka dalam proses menamakan calon yang akan dikemukakan kepada Agong termasuk dengan membentangkannya di Parlimen.

"Jadi PM perlu berterus terang, tak perlu berahsia atau buat kejutan. Maklum kepada Parlimen yang dia akan serahkan kepada Agong nama itu bagi mengisi jawatan pengerusi SPR.

"Beri juga justifikasi yang kukuh kenapa nama yang dipilih itu mempunyai kelayakan dan kesesuaian yang menepati kehendak Perlembagaan," kata beliau.

Dalam pada itu, Wan Ahmad turut menegaskan bahawa Perlembagaan turut menggariskan syarat utama dalam pemilihan ahli dan juga Pengerusi SPR.

"Kehendak pertamanya ialah calon ahli dan Pengerusi SPR hendaklah terdiri daripada mereka yang dianggap sebagai seorang yang akan bersikap berkecuali dan tiada apa-apa kepentingan politik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

"Dia juga tidak boleh berpihak kepada mana-mana puak politik apabila menjalankan tugas dan tanggungjawab," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad turut berpandangan bahawa tradisi melantik ahli dan Pengerusi SPR daripada dalam kalangan bekas pegawai kerajaan juga perlu dikekalkan.

Ini kerana menurutnya, pengalaman bertugas sebagai pegawai kerajaan disifatkan sangat penting dalam melaksanakan tugasan.

"Tidak boleh ambil orang sembarangan. Sebagai Pengerusi SPR hendaklah mempunyai pengalaman selok-belok pentadbiran termasuk dalam hubungannya bersama dengan Ketua Setiausaha Negara dan juga Setiausaha Perbendaharaan.

"Jadi ini penting contohnya bila nak minta bajet pilihan raya dan juga berurusan dengan pekerja pilihan raya yang sememangnya melibatkan penjawat awam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram