Sama macam ‘airport’, balai polis wajib ada mesin pengimbas — Presiden Persatuan Bekas Polis


  • Massa
  • Selasa, 21 Mei 2024

Ciri keselamatan di balai polis perlu dipertingkatkan bagi mengelak berlakunya insiden jenayah. — Gambar hiasan

INSIDEN meragut nyawa di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Jumaat lalu memahat sejarah hitam dalam kalangan rakyat di negara ini.

Serangan seorang lelaki yang mengorbankan dua anggota polis itu masih menjadi tanda tanya dengan motif suspek masih belum diketahui setakat ini.

Menggunakan senjata pistol dan parang, suspek berusia 21 tahun itu yang pada mulanya didakwa merupakan pengikut Jemaah Islamiyah (JI) dinafikan pihak polis selepas serangan itu disahkan tidak didorongi mana-mana kumpulan ekstremis ataupun pengganas.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah rakam jenayah aksi sendiri samun warga asing di Cheras, polis tahan 3 pelajar

BACA LAGI: [VIDEO] Baru lepas keluar duit dekat bank, lelaki kena samun di lampu isyarat Klang

Namun, pertikaian masyarakat ketika ini tertumpu kepada ciri serta kawalan keselamatan di balai polis yang disifatkan semakin terdedah kepada jenayah.

Menggesa kerajaan tampil memperbaharui sistem keselamatan di setiap balai polis negara, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar berharap agar pihak atasan mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa negara baru-baru ini.

Jelasnya, balai polis sepatutnya menjadi tempat perlindungan atau kawasan selamat untuk rakyat mendapatkan bantuan namun, kini ia berubah kepada lokasi tumpuan penjenayah.

2701762

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar

"Balai polis saya kira perlu dijadikan kawasan selamat semula dengan tahap keselamatan perlu ditingkatkan segera supaya kita tidak dihantui kes di Ulu Tiram.

"Tidak salah jika fasiliti keselamatan mesin pengimbas seperti di lapangan terbang, diguna pakai dalam setiap jabatan balai polis negara.

"Setidak-tidaknya mulakan dengan kawasan di tengah bandar terlebih dahulu kerana kita sedia maklum akan lokasi di kawasan luar bandar agak terpencil dari segala kemudahan.

"Maka dengan adanya sistem pengimbas, setiap individu yang hadir sama ada ingin membuat aduan atau sebagainya, boleh diketahui akan barangan ataupun senjata tajam dibawa, seterusnya mengelak berlakunya situasi berbahaya," katanya kepada Majoriti.

Sistem pengimbas diyakini mampu mencegah jenayah sekiranya dilaksanakan di setiap balai polis.

Tambahnya, balai polis di kawasan pendalaman juga tidak terkecuali daripada penambahbaikan keselamatan.

Meskipun terletak di lokasi terpencil, Mokhtar Omar tegas menyatakan bahawa jenayah tidak mengira tempat ataupun masa.

"Jenayah satu perkara tidak boleh dijangka, sama ada di kawasan bandar mahupun pendalaman, semuanya boleh terdedah kepada pelaku jenayah.

"Jadi kalau balai di kawasan kampung misalnya, sebaiknya polis pengawal bertugas menutup ataupun mengunci pintu pagar sekiranya situasi mulai sunyi di lewat malam.

"Aduan masih diterima namun, seseorang itu tidak sewenang-wenangnya dibenarkan masuk tanpa alasan kukuh jika melebihi waktu," ujarnya.

Katanya, langkah drastik perlu diambil pihak atasan agar insiden sedemikian tidak berulang dengan persediaan polis perlulah sentiasa di tahap terbaik.

Untuk rekod, seorang suspek lelaki ditembak mati dalam insiden serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada Jumaat lalu.

Menurut laporan media, jenazah suspek telah dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram pada Isnin dan ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, memberitahu, pihaknya dimaklumkan Pejabat Kadi Daerah untuk menjarakkan lokasi kubur suspek berbanding kubur orang awam lain.

Proses pengebumian itu bagaimanapun hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram