
PIHAK kerajaan dan polis diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi sejumlah RM197,600 kepada keluarga Mohd Fadzrin Zaidi yang meninggal dunia ketika ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada 2019.
Keputusan itu diputuskan oleh hakim, Datuk P. Anand selepas ibu Fadzrin, Fadhelah Othman, memfailkan saman terhadap pihak polis dan kerajaan akibat kematian anaknya.
Memetik laporan Buletin TV3, dalam prosiding yang dijalankan pada Isnin, mahkamah mengarahkan pembayaran dilakukan terhadap keluarga Fadzrin dengan RM50,000 untuk kos guaman, RM57,600 sebagai ganti rugi kehilangan tanggungan dan RM30,000 ganti rugi kesedihan.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kerajaan dan polis membayar RM50,000 sebagai ganti rugi teruk, RM5,000 kos pengeluaran surat kuasa mentadbir harta pusaka, RM2,000 perbelanjaan perjalanan dan RM3,000 untuk kos pengebumian.
BACA LAGI: Dua lelaki ceroboh Istana Negara mengaku salah di Mahkamah Kuala Lumpur
BACA LAGI: Siti Bainun tarik semula rayuan tangguh hukuman 12 tahun penjara
Menurut Anand, punca kematian Fadzrin adalah disebabkan oleh kecuaian pihak polis semasa dia berada dalam tahanan dan ia terbukti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Anand berkata, sepatutnya pemantauan dibuat sepanjang masa bagi mengelak daripada tahanan meninggal dunia semasa di dalam lokap.
"Ketika kejadian didapati terdapat kelalaian antaranya kamera litar tertutup (CCTV) tidak dipantau setiap masa dan perintah tetap tidak dipatuhi anggota bertugas.
"Sepatutnya perkara-perkara ini dipantau untuk mengelakkan kematian tahanan di lokap," ujar Anand.
Pada 2022, Fadhelah memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara serta anggota polis di IPD Seberang Perai Utara pada 2022.
Waktu itu, Fadzrin ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dipercayai ditemu meninggal dunia selepas menggantungkan diri di lokap IPD Seberang Perai Utara pada 20 November 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram