
DUA lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin kerana cuba menceroboh masuk Istana Negara, tiga hari lepas.
Memetik laporan Buletin TV3, Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu ke atas Salleh Udoh, 37, dan Abdul Malek Az Zukhruf Fiee, 29, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Pintu 3 Istana Negara, Sri Hartamas pukul 4.40 petang, 17 Mei lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447/451 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.
BACA LAGI: Dua lelaki bawa parang dicekup cuba ceroboh Istana Negara
BACA LAGI: Serangan Ulu Tiram: Warga Singapura antara 7 individu direman seminggu
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 17 Mei 2024.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu iaitu anggota polis yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pintu 3 Istana Negara didatangi sebuah kereta dinaiki kedua-dua tertuduh yang cuba memasuki istana.
Apabila ditanya tujuan masuk ke istana, kedua-dua tertuduh memberitahu ingin berjumpa Yang di-Pertuan Agong atas urusan akhirat dan pengadu telah membuat panggilan ke pusat kawalan dan petugas ronda sektor kemudian tiba di lokasi kejadian.
Pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan tertuduh dan menjumpai sebilah parang bersarung hitam berukuran 17.5 inci (19.05 sentimeter) dalam bonet kereta.
Kedua-dua tertuduh ditangkap dan siasatan mendapati mereka tiada sebarang urusan yang sah untuk memasuki Istana Negara.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kes pencerobohan yang berlaku.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sementara itu Salleh yang berdepan satu lagi pertuduhan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki senjata iaitu parang panjang berkenaan tanpa kebenaran yang sah pada lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan Salleh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai serta menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram