Tiga disyaki ejen CIA ditahan terlibat cubaan rampasan kuasa


  • Benua
  • Isnin, 20 Mei 2024

Tangkap layar menunjukkan detik-detik dua rakyat AS ditahan tentera Congo (kanan), manakala gambar kiri adalah pasport milik seorang daripada mereka. — Agensi

TENTERA Republik Congo menahan tiga warga Amerika Syarikat (AS) yang disyaki ejen perisikan dan terlibat dalam cubaan rampasan kuasa di negara itu pada Ahad.

Rakaman video menunjukkan sekumpulan tentera mengelilingi dua individu tersebut yang merayu tidak diapa-apakan sebelum ditahan oleh tentera republik.

Laporan media tempatan mendakwa tiga lelaki AS itu merupakan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) tetapi pihak Kedutaan AS menafikan sebarang penglibatan Washington dalam konflik di negara tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Helikopter bawa Presiden Iran, pegawai kanan terhempas

BACA LAGI: AS minta Iran benarkan Israel serang balas demi jaga maruah — Sumber

"Saya terkejut dengan peristiwa yang berlaku pagi ini (Ahad) dan bimbang dengan laporan bahawa rakyat AS disyaki terlibat," katanya Duta AS ke Republik Congo, Lucy Tamlyn.

"Kami pasti akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Congo memandangkan mereka sedang menyiasat tindakan jenayah ini termasuk dakwaan penglibatan rakyat AS."

Tentera Congo menamakan Christian Malanga, 42, seorang pelarian sebagai ketua pemberontak dan ditembak mati dalam kejadian itu.

Anaknya, Marcel juga antara yang dituduh terlibat dalam cubaan rampasan kuasa itu dan telah ditahan selepas tentera Congo berjaya mengambil alih semula pentadbiran.

Rakaman di media sosial menunjukkan pasport dipercayai milik seorang daripada rakyat AS yang ditahan, menggunakan nama Benjamin Zalman-Polun, 36 tahun berasal dari Maryland.

Zalman-Polun dilaporkan mempunyai rekod peniaga ganja dan ada kaitan dengan Malanga.

Tentera Congo berkata, pihaknya menggagalkan cubaan rampasan kuasa yang melibatkan campur tangan asing dan rakyat Congo sendiri berdekatan pejabat Presiden Felix Tshisekedi di Kinshasa.

Kejadian itu berlaku pada awal pagi di kediaman Menteri Ekonomi, Vital Kamerhe dekat kawasan Gome, tidak jauh dari kediaman Presiden.

Seramai 50 orang ditahan termasuk tiga rakyat AS terbabit dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan, kata tentera. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram