PM Anwar ucap takziah pemergian Presiden, Menteri Luar Iran


  • Primer
  • Isnin, 20 Mei 2024

Anwar (kiri) bertemu dengan Raisi (kanan) di Mesyuarat Agung PBB pada November 2023. — Buletin TV3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan takziah kepada Iran atas pemergian presiden serta menteri luarnya yang terkorban akibat nahas helikopter.

Iran kehilangan Presidennya, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar, Dr Hossein Amirabdollahian yang menjadi mangsa nahas helikopter di barat laut negara itu pada Ahad.

Anwar dalam hantarannya di media sosial berkata, dia berdukacita dengan pemergian presiden tersebut yang pernah ditemuinya ketika Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2023.

BACA LAGI: Presiden Iran, Menteri Luar sah maut dalam nahas helikopter terhempas

BACA LAGI: Rapat dengan Ali Khamenei, 6 fakta perlu diketahui mengenai Presiden Interim Iran

"Terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian.

"Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara. Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

"Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran. Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga ALLAH SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya," ujar Anwar.

Ketika tragedi itu berlaku, Raisi dan delegasi Iran sedang dalam perjalanan pulang daripada merasmikan empangan yang menghubungkan negara itu dengan Azerbaijan.

Helikopter yang dinaikinya itu kemudiannya terhempas sewaktu mendarat di wilayah Varzaqan. — The Star/LO TERN CHEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram