Rapat dengan Ali Khamenei, 6 fakta perlu diketahui mengenai Presiden Interim Iran


  • Benua
  • Isnin, 20 Mei 2024

Mokhber (dua dari kiri) mengalu-alukan Sultan Haitham bin Tariq dari Oman (kiri) yang tiba di Lapangan Terbang Mehrabad di Tehran, Iran pada 28 Mei 2023. — Agensi

PADA Ahad, dunia dikejutkan dengan berita nahas helikopter apabila Presiden Iran, Ebrahim Raisi bersama pegawai kanannya dilaporkan terhempas di wilayah Barat Laut Iran.

Turut bersama menaiki pesawat terbabit ialah Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian.

Rombongan terbabit dilaporkan dalam penerbangan pulang daripada sebuah majlis bagi merasmikan pembukaan empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel

Pasukan penyelamat kemudiannya menemui lokasi bangkai helikopter terbabit pada Isnin dengan tiada tanda-tanda menunjukkan terdapat mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut.

Kejadian tersebut turut menyaksikan berlakunya kekosongan bagi jawatan Presiden Iran susulan pemergian Raisi.

Berdasarkan perlembagaan republik tersebut, posisi tersebut dijangka akan diisi buat sementara waktu oleh Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Mokhber, 68.

Berikut merupakan beberapa fakta penting mengenai pemimpin yang bakal memegang jawatan selaku Presiden Interim Iran.

Sebagai Presiden Interim, Mokhber merupakan salah seorang daripada tiga ahli majlis terdiri daripada Speaker Parlimen dan ketua badan kehakiman, yang akan menganjurkan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 50 hari selepas kematian presiden.

2704006

Tempat yang menjadi lokasi helikopter membawa Raisi bersama pegawai kanannya terhempas pada Ahad. — Agensi

Dilahirkan pada 1 September 1955, seperti Raisi, Mokhber turut dilihat rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus terakhir dalam semua urusan negara.

Mokhber menjadi Naib Presiden Pertama pada 2021 apabila Raisi dipilih sebagai presiden.

Mokhber merupakan sebahagian daripada delegasi pegawai Iran yang melawat Moscow, Rusia pada Oktober dan bersetuju membekalkan peluru berpandu dan lebih banyak dron kepada tentera Rusia, menurut maklumat sumber yang memberitahu Reuters pada masa itu.

Delegasi berkenaan turut melibatkan dua pegawai kanan dari Pengawal Revolusi Iran dan seorang pegawai dari Majlis Keselamatan Negara Tertinggi.

Mokhber sebelum ini pernah menjadi Ketua Setad Iran, iaitu sebuah badan dana pelaburan cukup berpengaruh yang mempunyai kaitan dengan pemimpin tertinggi republik itu.

Pada 2010, Kesatuan Eropah memasukkan Mokhber dalam senarai individu dan entiti yang dikenakan sekatan atas dakwaan penglibatannya dalam "aktiviti peluru berpandu nuklear atau balistik".

Dua tahun kemudian, beliau dikeluarkan daripada senarai terbabit.

Pada 2013, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) memasukkan Setad dan 37 syarikat yang diselianya ke dalam senarai entiti yang menerima sekatan.

Setad, nama penuhnya Setad Ejraiye Farmane Hazrate Emam, atau diterjemah sebagai Markas Melaksanakan Perintah Imam, ditubuhkan di bawah perintah dikeluarkan pengasas Republik Islam yang juga pendahulu Khamenei iaitu Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Ia memfokuskan terhadap aktiviti menjual dan menguruskan hartanah yang kononnya terbengkalai dalam tahun-tahun huru-hara selepas Revolusi Islam 1979 dan menyalurkan sebahagian besar hasil bagi tujuan kebajikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram