PM Anwar arah DBKL wajib tanam semula 100 pokok baharu ganti setiap pohon ditebang


  • Primer
  • Rabu, 15 Mei 2024

Anwar mahu setiap pokok yang ditebang diganti dengan 100 pokok baharu. — Facebook/Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penanaman semula pokok sebanyak 100 batang bagi menggantikan yang lama di Kuala Lumpur.

Menerusi laman X (Twitter) miliknya pada Rabu, Anwar berkata demikian selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah menebang semua pokok yang berisiko tinggi dengan segera oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

"Saya telah memberi arahan kepada Datuk Bandar (Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh) iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula," ujar Anwar.

BACA LAGI: Kereta pengiring dihempap pokok tumbang, KM Melaka gesa pihak berkuasa pantau pokok di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden pokok tumbang KL: Seorang maut, 17 kenderaan rosak

Sebelum ini, Zaliha mengatakan DBKL perlu mengambil tindakan segera dengan menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi. Selain itu, mereka turut diarahkan untuk memperkemas Pelan Pengurusan Pokok Rendang sedia ada.

"Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuklah dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang," kata Zaliha pada Isnin.

Zaliha berkata demikian selepas sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang berdepan dengan Kuwait Bank dan ia hampir mengenai kenderaan dinaiki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Mujur tiada kecederaan berlaku kerana ia menghempap kenderaan pengiring yang mengiringi Ab Rauf.

Ia merupakan kejadian pokok tumbang kedua berlaku di Kuala Lumpur. Sebelum ini, sebuah pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei.

Kejadian itu menyaksikan sebatang pokok menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel serta meragut nyawa seorang lelaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram