Peralatan jenayah mudah dibeli, wajibkan penggunaan kod QR — Persatuan Bekas Polis Malaysia


  • Massa
  • Ahad, 19 Mei 2024

Penjenayah kerap menggunakan peralatan seperti tukul besi dan cecair asid untuk tujuan tidak bermoral. — Gambar hiasan

KES jenayah membabitkan senjata tajam dan asid semakin sukar dibendung dengan beberapa tragedi baru-baru ini melihatkan barangan itu sering diguna pakai untuk tujuan negatif.

Terbaharu, pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa simbah asid apabila terpaksa menjalani pembedahan kritikal akibat lecuran daripada serangan tersebut.

Malah, peralatan kegunaan harian seperti parang, tukul besi dan minyak petrol juga semakin disalah guna oleh pihak berkenaan untuk tujuan jenayah.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah rakam jenayah aksi sendiri samun warga asing di Cheras, polis tahan 3 pelajar

BACA LAGI: [VIDEO] Baru lepas keluar duit dekat bank, lelaki kena samun di lampu isyarat Klang

Tanpa disedari, kegunaan peralatan sedemikian secara tidak langsung telah menyumbang kepada kadar kenaikan kes jenayah di negara ini.

Mengulas lanjut berhubung hal itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar menggesa agar kerajaan mengambil inisiatif segera dalam mengawal perkara itu daripada berterusan.

MOKHTAR-B-OMAR-PRESIDEN

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar

Jelasnya, sistem jual beli barangan tajam seperti parang, pisau dan kapak sememangnya tidak dikawal sejak sekian lamanya kerana ia mudah didapati di premis jualan runcit.

Namun, kebelakangan ini kemudahan itu telah disalah guna oleh pihak tertentu untuk menjadikan ia sebagai senjata membunuh dan merompak.

"Barangan seperti itu ada kawalan oleh pihak kerajaan tetapi ia tidak mencukupi untuk mengawal situasi jenayah ketika ini.

"Saya kira kerajaan perlu ambil langkah baharu dengan menggunakan teknologi canggih digital ataupun peranti di telefon pintar dalam setiap pembelian barangan sedemikian di pasar raya.

"Pembeli selepas ini mungkin diwajibkan untuk imbas qr pada premis untuk membeli barangan seperti cecair asid misalnya agar data dan maklumat mereka disimpan dalam pantauan kerajaan.

"Ia mungkin kedengaran agak sukar dilaksanakan tetapi saya percaya dengan kemudahan serta kecanggihan dimiliki negara ketika ini, perkara seperti itu tidak mustahil untuk dilakukan.

"Sama juga seperti aplikasi My Sejahtera sebelum ini, data kita disimpan rapi atas tujuan rekod kerajaan, jadi sistem serupa mungkin boleh dipraktikkan dalam pembelian barangan senjata tajam di premis," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar pihak polis perlu lebih cakna dan bijak menyebarkan pendedahan tentang bahaya senjata tajam di peringkat awal.

"Pelbagai platform kita ada sekarang yang boleh disalurkan maklumat berkaitan keselamatan berkenaan peralatan tajam bermula dari rumah.

"Parang, pisau dan pemutar skru misalnya antara yang mudah dijadikan senjata penjenayah, jadi kita perlulah sebarkan secara meluas di paltform digital berkaitan ciri keselamatan peralatan terbabit," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram