Lagi kes ceroboh balai, lelaki cuba rampas submesingan ditahan polis di George Town


  • 112
  • Ahad, 19 Mei 2024

Polis menahan seorang lelaki selepas menceroboh dan cuba merampas senjata api daripada anggota polis. — Facebook

TINDAKAN pantas polis berjaya memberkas seorang lelaki dipercayai cuba menyerang seorang anggota di Balai Polis Dato Keramat, George Town, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, lelaki yang dipercayai warga tempatan berusia 35 tahun itu dikatakan datang ke balai dengan menunggang sebuah motosikal

Difahamkan, suspek cuba merampas submesingan jenis HK MP5 daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar balai dalam kejadian pada awal pagi Ahad.

BACA LAGI: Balai polis diserang: Tiada CCTV, dua pelajar IPT, bapa suspek JI antara 7 ditahan

BACA LAGI: Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN

MSuspek dikatakan menghampiri anggota yang sedang menjalankan tugas di pintu pagar balai berkenaan pada pukul 4 pagi sebelum meminta anggota membuka laluan masuk itu.

Ketika anggota berkenaan meminta suspek menyatakan tujuan ke balai, suspek tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan selain menceroboh masuk pekarangan balai berkenaan.

Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal.

Susulan itu, anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya tidak mengulangi tindakannya, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.

Bagaimanapun, tindakan suspek gagal selepas anggota berkenaan yang dibantu rakan setugas berjaya menahannya.

Susulan pergelutan yang berlaku, suspek mengalami kecederaan di muka dan tangan ketika anggota melakukan tangkapan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Difahamkan, semasa kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram