Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN


  • 112
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (dua kanan) melawat anggota cedera mangsa tragedi serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor. — Facebook/PDRM

MOTIF serangan seorang lelaki yang menembak mati dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat dipercayai untuk merampas senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang berusia 21 tahun itu disyaki anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dan sudah membuat persiapan rapi sebelum melakukan serangan berkenaan.

"Daripada siasatan kita dapati bahawa suspek bawa beg mengandungi 'shield' (perisai), kain dan 'paper' untuk bertempur dengan polis. Kita lihat mungkin dia datang untuk dapat senjata api, ada agenda yang kita tak tahu lagi buat masa ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga lelaki ragut rantai emas peniaga di Bukit Mertajam guna nombor pendaftaran palsu — Polis

BACA LAGI: Anggota JI dalang serangan Balai Polis Ulu Tiram — Ketua Polis Negara

"Saya telah minta cawangan khas dapatkan semua anggota JI di Johor untuk kenal pasti dan siasat," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.30 pagi semasa dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 22 dan 21 tahun datang ke balai membuat aduan dicabul dua tahun lalu.

Pada masa sama, katanya, suspek datang ke balai tersebut dengan menunggang motosikal dengan membawa sebilah parang sebelum meletakkan motosikalnya di bahagian belakang.

Katanya, seorang anggota polis yang menjaga di bahagian depan balai kemudian meninjau ke bahagian belakang balai sebelum ditetak suspek sebanyak tiga kali di leher sebelum merampas pistol anggota polis berkenaan.

"Anggota polis berkenaan maut di tempat kejadian selepas peluru tersebut tembus di kepalanya. Dua anggota polis berkenaan yang berasal dari Kuantan, Pahang dan Bidor, Perak berusia 21 dan 22 tahun maut di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian menembak seorang lagi anggota polis di bahagian bahu kiri dan pinggul sebelum suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Ujarnya, anggota tersebut mengalami kecederaan dan dilaporkan stabil di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Susulan itu, katanya, pihak polis menahan tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia 19 sehingga 62 tahun serta lelaki dan wanita yang membuat laporan polis itu.

"Bapa suspek merupakan ahli JI di Ulu Tiram. Lelaki dan wanita itu pula mendakwa dicabul, kita akan siasat.

"Kalau tanya saya kes kononnya diraba, tidak logik datang pukul 2 pagi," katanya.

Razarudin berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kira-kira 20 lagi JI yang terdapat di Ulu Tiram.

Dalam perkembangan sama, Razarudin melawat anggota cedera mangsa tragedi serangan Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram