SEBUAH gunung berapi di pulau terpencil di Indonesia, Halmahera meletus, memuntahkan awan abu kelabu ke langit dan tujuh kampung terpaksa dipindahkan.
Letusan Gunung Ibu yang meletus pada Sabtu itu menyaksikan abu setinggi empat kilometer ketika kilatan petir menyambar di sekitar kawahnya, menurut maklumat dan imej dikongsi agensi vulkanologi Indonesia.
Menurut pegawai agensi mitigasi bencana, Abdul Muhari, pasukan polis, tentera serta anggota mencari dan menyelamat dihantar ke kawasan itu untuk memindahkan penduduk dari kampung sekitar.
BACA LAGI: Balai polis Ulu Tiram tersorok, bekas timbalan OCPD gesa lokasi ditukar demi keselamatan
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat solat subuh, imam ditikam ketika ambil wuduk di Indonesia
Gambar yang dikongsikan agensi menunjukkan pihak berkuasa membantu warga emas, manakala penduduk lain dipindahkan dengan pikap dan ditempatkan di khemah kecemasan.
Agensi itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai bilangan mangsa yang dipindahkan, tetapi pihak berkuasa mengesyorkan agar penduduk mengosongkan kawasan pada jarak radius tujuh kilometer.
Agensi gunung berapi Indonesia menaikkan tahap amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi pada Khamis, selepas Gunung Ibu meletus beberapa kali awal bulan ini.
Kejadian di Gunung Ibu itu mengikuti beberapa siri letusan gunung berapi di Indonesia, negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.
Banjir kilat dan aliran lava sejuk dari Gunung Marapi, antara paling aktif di wilayah Sumatera Barat, meliputi beberapa daerah berhampiran berikutan hujan lebat pada 11 Mei, mengorbankan lebih 60 orang.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Gunung Ruang Sulawesi Utara juga telah meletus, memuntahkan lava.
Letusan itu mendorong pihak berkuasa memindahkan lebih 12,000 orang di pulau berdekatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram