Taktik samaran JPJ atasi isu pemilik sewa kereta kepada warga asing tanpa lesen


  • 112
  • Sabtu, 18 Mei 2024

JPJ akan melakukan taktik samaran untuk membanteras kegiatan sewa kereta kepada warga asing tidak berlesen. — Agensi

PIHAK Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) mempertimbang untuk menggunakan taktik samaran untuk menangkap pemilik kereta menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu.

Penggunaan taktik samaran tersebut dilakukan untuk menangkap pemilik kenderaan yang sering menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak berlesen memandu dengan lebih berkesan.

Menurut Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ, Muhammad Kifli Md Hassan, pihaknya akan memantau media sosial yang mana iklan sewaan kereta lazimnya disiarkan. Dari situ, mereka akan menyamar sebagai prospek pelanggan untuk berhubung dengan pemilik kenderaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki selisih maut, kereta rentung ketika isi minyak di Kangar

BACA LAGI: Lapan individu dipanggil beri keterangan bantu siasatan kes resit pesanan piza hina Islam

"Kami akan mengarahkan penguatkuasa kami memantau hebahan di media sosial dan akan menyamar sebagai prospek pelanggan.

"Ini bertujuan untuk mengesan siapa yang rela menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah," kata Kifli.

Kifli berkata demikian sewaktu operasi bersama yang diadakan dekat Plaza Tol Jalan Duta pada Jumaat. Dalam operasi tersebut, JPJ menahan kenderaan yang dipandu warga asing tidak berlesen serta mereka yang menggunakan lesen palsu.

"Apabila kami menyoal pemandu tersebut, dia memberitahu kami yang dia menyewa kereta dari Pulau Pinang dan akan berpatah balik ke sana.

"Kami akan menghubungi pemilik kenderaan tersebut untuk membantu siasatan," ujar Kifli.

Dalam operasi yang turut disertai oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan polis trafik, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 2,512 kenderaan diperiksa dengan 196 daripadanya diambil tindakan.

Sebanyak 416 saman dikeluarkan JPJ serta pihak imigresen turut menahan tujuh individu dalam operasi yang diadakan bermula 8 malam. — The Star/AUSTIN CAMOENS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram