RAKYAT Malaysia dinasihatkan supaya tidak panik dengan situasi kenaikan kes jangkitan Covid-19 di Singapura yang dilaporkan mengalami gelombang baharu susulan peningkatan kes penularan sejak dua minggu lalu.
Pakar Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, perkembangan yang berlaku di negara jiran itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Katanya, ini kerana virus Covid-19 itu sememangnya sudah dijangka akan bermutasi dengan pelbagai varian dengan ada antaranya yang berpotensi merebak dengan agak pesat.
BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ
Bagaimanapun, beliau berkata, varian yang tersebar di Singapura itu disifatkan tidak menimbulkan simptom serius kepada majoriti penduduk.
"Covid-19 memang dari awal dijangka akan ada banyak varian-varian mutasi. Ini adalah perjalanan virus-virus yang lebih ketara dengan era globalisasi.
"Namun begitu, indikator yang kita sentiasa memantau adalah jumlah kes yang serius yang memerlukan bantuan pernafasan dan sokongan ICU) dan juga jumlah kematian," katanya kepada Majoriti.
Dari segi kesiapsiagaan negara untuk berdepan dengan peningkatan jangkitan Covid-19, Dr Mohammad Farhan berkata, fasiliti kesihatan negara masih berada dalam keadaan terkawal.
"Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, setakat ini semua masih dalam keadaan yang terkawal dan kes kematian Covid-19 terakhir dilaporkan adalah pada 25 April 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Ahad berkata, kementeriannya sedang memantau dengan teliti trajektori gelombang peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan oleh Singapura baru-baru ini.
Menurutnya, penularan di republik itu melibatkan gabungan kes dua sub varian iaitu KP.1 dan KP.2 sekali gus menyumbang lebih dua pertiga kes jangkitan di Singapura.
Dzulkefly berkata, di Malaysia, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus.
Mengenai varian yang menular ketika ini, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes KP 1.1 dan KP.2.1 pada Mac 2024, dengan setiap kedua-duanya hanya mengalami gejala ringan dan tidak melaporkan sebarang peningkatan ketara dalam kes Covid-19.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Farhan berkata, rakyat Malaysia perlu meletakkan keyakinan terhadap kerajaan dalam menangani penularan kes Covid-19.
"Sebab kita dah bertahun menghadapi perkara ini, dan tahu apa nak kena buat. KKM pun lebih faham virus dan lebih bersedia, rakyat pun lebih arif dan tahu langkah-langkah yang perlu diambil," ujarnya.
Menurut Dr Mohammad Farhan, orang ramai juga diminta untuk sentiasa mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan KKM.
"Sentiasa menjaga kebersihan diri, kerap membasuh tangan dan terutamanya kepada golongan berisiko agar sentiasa mengamalkan langkah 'safety first' dan sentiasa melindungi diri sejajar dengan aktiviti dan situasi sekeliling," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram