NEGARA pada awal Jumaat dikejutkan dengan serangan dilakukan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor yang mengorbankan dua orang anggota pasukan keselamatan tersebut.
Dalam kejadian serangan pada pukul 2.30 pagi itu, seorang anggota dilaporkan maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang hadir di balai polis terbabit dengan bertopeng dan berpakaian gelap.
Suspek lelaki terbabit yang disahkan mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dikatakan kemudiannya merampas senjata api daripada anggota berkenaan sebelum menembak mati seorang lagi anggota yang sedang bertugas.
BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ
BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'
Suspek terbabit yang berusia 34 tahun itu bagaimanapun ditembak mati di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan beberapa anggota yang ketika itu secara kebetulan baru pulang dari tugas membuat rondaan dengan menaiki kenderaan MPV polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serbuan dilakukan terhadap rumah suspek di Ulu Tiram, pada pagi Jumaat menemui beberapa info termasuk pelbagai risalah berkaitan kegiatan kumpulan tersebut.
Susulan daripada itu, polis turut menahan tujuh individu terdiri daripada lima ahli keluarga suspek berusia 19 dan 62 tahun bersama dua pelajar IPT yang berada di balai tersebut untuk membuat laporan ketika kejadian.
Suspek (gambar kecil) yang didakwa menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat kini bertebaran di media sosial.
Pada masa sama, Razarudin berkata, polis masih sedang melakukan siasatan rapi terhadap insiden tersebut termasuk motif serangannya.
Untuk rekod, JI merupakan kumpulan pengganas berpusat di Indonesia yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, iaitu kumpulan pengganas bertanggungjawab melakukan serangan 9 September 2001 di Amerika Syarikat.
JI turut bertanggungjawab ke atas beberapa serangan pengganas berdarah di Indonesia, termasuk pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.
Dalam pada itu, jaringan kegiatannya turut merebak ke beberapa negara jiran termasuk di Filipina, Singapura dan Malaysia.
Siri pengeboman
Dilaporkan, kumpulan ini turut menghantar anggotanya untuk berperang bersama mujahidin dalam perang melawan Kesatuan Soviet di Afghanistan dan memiliki hubungan dengan kumpulan penculikan untuk tebusan Abu Sayyaf dan Al-Qaeda.
Menerusi beberapa laporan, ketua kerohanian JI, Abu Bakar Bashir yang merupakan perancang pengeboman Bali dipercayai turut pernah mendirikan sebuah sekolah agama atau madrasah di Ulu Tiram yang dinamakan Luqmanul Hakiem pada awal 1990-an.
Menurut CNA, madrasah berkenaan turut dihadiri Noordin Muhammad Top, iaitu warga Malaysia disyaki menjadi merupakan dalang utama pengeboman hotel di Jakarta pada 2009.
Selain Noordin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Noordin Mat Top, seorang lagi rakyat Malaysia disyaki terbabit dalam pengeboman di Jakarta ialah Azahari Husin.
Azahari dan Noordin bagaimanapun terbunuh dalam dua serbuan berasingan dilakukan oleh polis Indonesia masing-masing pada 2005 dan 2009.
Kerajaan Indonesia pada 2008 mengumumkan pengharaman organisasi JI pada 2008.
Untuk tempoh antara 2010 hingga 2021, polis Indonesia dilaporkan menahan 31 penjawat awam terdiri daripada lapan anggota pasukan polis, lima anggota tentera, serta 18 penjawat awam kerana terlibat dalam aktiviti keganasan. — Agensi
Adakah JI Indonesia pengaruhi serangan dibuat di Malaysia?
Perunding keselamatan daripada Chasseur Group, Munira Mustaffa berkata, terdapat peningkatan semula aktiviti JI di Indonesia yang membawa kepada beberapa siri penangkapan di seluruh negara tersebut khususnya di kawasan kepulauan Sulawesi sejak beberapa tahun lalu.
Disebabkan itu, Munira menerusi laporan South China Morning Post turut tidak menolak kemungkinan bahawa suspek mendapat inspirasi untuk meniru modus operandi yang biasanya dilihat dalam beberapa serangan terhadap balai polis di Indonesia.
Bagaimanapun, beliau yang juga penganalisis kegiatan kumpulan pengganas berkata, serangan yang berlaku itu berkemungkinan adalah kes terpencil dan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan utama gerakan itu di Indonesia.
Katanya, ini kerana JI di Indonesia kini sedang bergelut untuk memulihkan aktiviti militannya di bawah kepimpinan baharu yang meletakkan moratorium serangan sejak beberapa tahun lalu.
"Walaupun keahlian JI di Indonesia kekal agak besar, majoriti tidak begitu tertumpu untuk melakukan serangan kerana peralihan ideologi," kata Munira.
Razaruddin dalam kenyataannya berkata, 20 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan JI diberkas untuk disoal siasat termasuk lima anggota keluarga suspek terbabit.
Untuk tempoh antara 2010 hingga 2021, polis Indonesia dilaporkan menahan 31 penjawat awam antaranya termasuk lapan anggota pasukan polis dan lima anggota tentera kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.
Menyusup masuk kerajaan
Siri penangkapan tersebut turut mendedahkan mengenai pendekatan baharu kumpulan berkenaan yang mula menyusup ke dalam institusi kerajaan.
Kumpulan tersebut dilaporkan cuba mempengaruhi pelaksanaan dasar di dalam bidang politik, sosial dan agama yang menyokong agenda mendirikan negara Islam berasaskan perundangan syariah mengikut versinya.
Pada masa sama, media turut melaporkan meskipun kumpulan berkenaan didapati tidak melancarkan sebarang serangan baharu, namun polis dan penganalisis berkata, JI Indonesia masih menjadi ancaman utama di negara itu.
Malah, kumpulan itu juga didakwa mula memberikan tumpuan terhadap aktiviti pengumpulan dana, pengukuhan struktur organisasi dan merekrut ahli untuk jangka masa pendek.
Dilaporkan, polis Indonesia turut merampas wang tunai dan aset bernilai lebih 1 bilion rupiah atau RM293,474 dirampas daripada kumpulan JI pada 2021.
Mengulas mengenai sejauh mana wujudnya hubungan antara kegiatan JI di Malaysia dan Indonesia, Munira berpandangan kemungkinan tersebut dilihat tidak cukup meyakinkan.
“Setakat yang kita tahu pada waktu ini, dakwaan ‘jaringan’ ini muncul daripada maklumat bahawa si mati adalah anak kepada bekas ahli JI.
“Jadi kita tak boleh putuskan tindakan suspek ada melibatkan sebarang hubungan dengan kegiatan JI di Indonesia, melainkan ada bukti menunjukkan suspek menjalinkan hubungan dengan anggota di sana.
“Jadi saya meragui sebarang dakwaan bahawa serangan terbaru ini digalak, disokong atau diarah oleh kelompok utama gerakan itu di Indonesia,” katanya kepada Majoriti.
Para Wijayanto (tengah) yang dipercayai mengetuai gerakan JI di Indonesia ditahan pada 2019. — Agensi
Malah, beliau juga berkata, tiada sebarang bukti ketika ini menunjukkan kegiatan JI di Malaysia menerima pendanaan atau sebarang sokongan daripada JI Indonesia.
“Ini kerana kelompok JI di Indonesia sekarang diketuai oleh Para Wijayanto yang ketika ini masih dalam tahanan.
“Wijayanto telah melarang anggota JI daripada melancarkan sebarang serangan keganasan,” ujar beliau.
Para Wijayanto dipercayai mengambil alih tampuk kepimpinan JI pada 2007 dengan dia cuba membina kembali jaringan kumpulan itu selepas ia diharamkan.
Dia yang berada dalam senarai individu dikehendaki sejak 2003 bagaimanapun berjaya ditahan polis Indonesia pada 2019.
Menurut Para Wijayanto, kumpulan itu mempunyai 'kira-kira 6,000 hingga 7,000 ahli' di republik tersebut.
Pada 2020, Mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kepada Para Wijayanto kerana kesalahan membantu membina semula kegiatan JI.
Dia juga didapati bersalah menghantar anggota JI ke Syria untuk berperang di negara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram