Pemakaian pelitup muka masih digalakkan di sekolah


  • Primer
  • Isnin, 01 Jan 2024

SOP berkaitan mengekang penularan Covid-19 di sekolah dan institusi pendidikan oleh KPM pada April tahun lepas masih terpakai hingga kini. — Gambar hiasan

MAKLUMAN berkenaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan mengekang penularan Covid-19 di sekolah dan institusi pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada April tahun lepas masih terpakai hingga kini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Wong berkata, antara SOP itu melibatkan penggalakan pemakaian pelitup muka kepada guru, murid dan pelajar, selain warga sekolah perlu melakukan ujian kendiri jika bergejala serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

"Bagaimanapun, kita tahu bahawa isu Covid-19 ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, dan pihak KPM akan sentiasa berbincang dan berkolaborasi dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan) berkenaan cara atau SOP kita untuk cegah penularan Covid-19," katanya kepada pemberita pada Program Semarak Taiping, Perak pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah kerajaan sekiranya berlaku penularan Covid-19 di sekolah berikutan perkembangan semasa wabak itu di dalam negara.

Baca Lagi: Covid-19 Pilora mula mengganas di Malaysia, 5 simptom 'red alert'

Pada 29 Disember lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata, situasi kekal terkawal dengan kebanyakan kes dilaporkan melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital, selain tiada varian baharu Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Ditanya jika KPM akan menutup sementara sekolah yang terjejas dengan penularan Covid-19, Wong berkata, kementerian itu akan mengendalikan setiap kes dengan teliti dan mendapatkan nasihat daripada KKM untuk tindakan selanjutnya jika keadaan penularan menjadi serius.

"Segala SOP harus kita muktamadkan selepas berbincang dengan KKM. Pihak KPM akan terus memantau isu ini, jadi kita akan tengok apa yang berlaku selepas sekolah dibuka semula (pada 2 Jan)," katanya.

Sementara itu, mengenai pemakaian semula pakaian seragam sekolah, Wong berkata, setakat ini KPM tidak berbincang berhubung perkara itu dan tiada ketetapan diputuskan tempoh kelonggaran pakaian sukan terpakai di seluruh negara.

Beliau berkata, meskipun cuaca kini tidak lagi panas seperti sebelum ini, namun terdapat pula beberapa sekolah di Pantai Timur yang terjejas dengan bencana banjir.

Baca Lagi: [VIDEO] Covid-19: KKM keluar arahan laksana dos penggalak ketiga

"Bagi pihak KPM, kita selalu pegang prinsip kemanusiaan yang kita mahu memberikan kesenangan dan kelonggaran kepada anak-anak kita dalam pembelajaran mereka. Apa yang penting bagi kita ialah kandungan pembelajaran daripada isu lain," katanya.

Pada 20 Mei tahun lepas, KPM tidak menetapkan tempoh kebenaran bagi murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ketika cuaca panas yang berlaku ketika itu, dengan Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kebenaran khas itu bergantung kepada keadaan cuaca.

Mengenai program malam Ahad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir dalam ucapan aluannya berkata, tanggal 20 Januari 2024 akan genap ulang tahun ke-150 bandar Taiping yang ditubuhkan melalui Perjanjian Pangkor pada 1984, selain MPT akan menganjurkan 150 program untuk tahun ini bersempena dengan ulang tahun itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram