Tiada keperluan wajibkan vaksin Covid-19, usah bimbang isu AstraZeneca — Pakar


  • Massa
  • Selasa, 14 Mei 2024

Malina berkata, situasi semasa juga menyaksikan negara tidak lagi perlu untuk melakukan pengumpulan stok vaksin bagi persediaan menangani virus tersebut.

TIADA keperluan untuk kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin memandangkan negara kini sudah keluar daripada fasa pandemik Covid-19.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, situasi semasa juga menyaksikan negara tidak lagi perlu untuk melakukan pengumpulan stok vaksin bagi persediaan menangani virus tersebut.

Disebabkan itu, beliau berkata, isu berkenaan penarikan semula bekalan vaksin Covid-19 oleh syarikat farmaseutikal gergasi, AstraZeneca pada minggu lalu tidak seharusnya menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang ramai.

BACA LAGI: Tak termakan isu perkauman, agama bukti Umno berjaya pujuk pengundi bantu tawan KKB

BACA LAGI: Pejabat KWSP sesak kerana akaun fleksibel, bukti rakyat terdesak, kesempitan

"Masyarakat tak perlu risau apakah sebab dan sebagainya sebab ada justifikasi di situ kenapa AstraZeneca nak tarik balik.

"Dalam masa sama, kita ada pelbagai jenis vaksin lain yang tersedia untuk diperolehi dalam konteks untuk pencegahan jangkitan," katanya kepada Majoriti.

Pada 7 Mei lalu, AstraZeneca menarik balik vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu di seluruh dunia.

AstraZeneca dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu dilakukan kerana wujudnya lebihan vaksin terkini yang tersedia sejak pandemik.

Sementara itu, dalam laporan sama, keputusan menarik balik itu dipercayai dibuat selepas syarikat itu mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.

Dalam dokumen undang-undang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, syarikat itu membuat beberapa pengakuan, antaranya menyatakan vaksin Covid-19 buatannya 'boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS atau 'Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome' iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.

FILE PHOTO: Vials labelled 'Astra Zeneca COVID-19 Coronavirus Vaccine' and a syringe are seen in front of a displayed AstraZeneca logo, in this illustration photo taken March 14, 2021. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration

Pada 7 Mei lalu, AstraZeneca menarik balik vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu di seluruh dunia. — Agensi

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu membabitkan kesan sampingan akibat pengambil vaksin syarikat itu, Malina berpendapat bahawa masyarakat di Malaysia tidak seharusnya terlalu bimbang mengenai perkara tersebut.

"Tidak timbul kerisauan sama ada mereka yang ambil AstraZeneca akan mendapat kesan sampingan seperti mana yang diwar-warkan mereka yang tidak berapa faham mengenai kesan sampingan pengambilan vaksin.

"Kesan sampingan tidak mungkin berlaku lebih daripada enam minggu selepas pemberian vaksin. Jadi kalau tempoh sekarang ini mereka yang terima vaksin AstraZeneca sebelum ini, tiada isu atau perkara yang perlu dirisaukan," ujarnya.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sehingga kini terdapat lima aduan yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kesan sampingan vaksin AstraZeneca, daripada 5.7 juta penerima vaksin jenis itu.

Katanya, kesemua aduan yang diterima melibatkan kes trombosis dengan sindrom “thrombocytopenia” yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca.

Dzulkefly dilaporkan berkata, kerajaan akan bertanggungjawab dan memberi rawatan sewajarnya kepada penerima vaksin AstraZeneca yang mendapat kesan sampingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram