PADA Jumaat, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi keterangan bahawa ceramah politiknya hanya bertanyakan tentang peranan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan dalam isu import telur dari India.
Difahamkan, Azmin membangkitkan persoalan itu kerana terdapat gambar yang tular di media sosial tahun lepas yang didakwa menunjukkan Deepak bersama Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam pesawat.
Azmin yang disaman oleh syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd (J&E) berkata, foto berkenaan menunjukkan Deepak bersama-sama Mohamad Sabu dalam pesawat berkenaan melalui penerbangan ke India.
BACA LAGI: Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN
Azmin memberi keterangan bahawa ceramah politiknya hanya bertanyakan tentang peranan Deepak Jaikishan dalam isu import telur dari India.
Menurutnya, foto itu muncul beberapa hari selepas menteri terbabit menjawab soalan di Parlimen berhubung permit kebenaran kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Katanya, beliau menyebut nama Deepak dalam "Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman" di sebuah dewan di Taman Melewar, Selangor pada 11 Mac 2023, kerana mempersoalkan mengapa Deepak turut berada bersama-sama Mohamad dalam pesawat itu.
Ketika disoal oleh peguam J&E, T Gunaseelan yang bertindak selaku plaintif berhubung apa tujuan Mohamed Azmin menimbulkan isu mengenai gambar berkenaan, Mohamed Azmin menjawab, kerana tiada penafian daripada Deepak.
Disoal lanjut sama ada beliau (Mohamed Azmin) hendak membabitkan Deepak dengan kontrak pengimportan telur, Mohamed Azmin berkata, beliau hanya mahukan penjelasan berhubung perkara itu.
Katanya, gambar itu membangkitkan persoalan mengenai peranan Deepak dalam perkara itu.
“Saya bukannya cuba untuk ‘memalukan’ atau menuduh beliau. Adakah salah saya sebagai seorang rakyat biasa untuk bertanya soalan seperti itu?,” kata Azmin.
Ketika disoal balas peguam T Gunaseelan, yang mewakili J&E Advance Tech, sama ada Azmin mengesahkan kesahihan gambar tersebut, beliau berkata, Deepak mahupun Mohamad Sabu menafikan ia wujud.
“Sekiranya ada yang tidak kena dengan gambar itu, mengapa mereka tidak tampil berkata demikian,” katanya.
J&E memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April tahun lalu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin (defendan) membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam "Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman" di sebuah dewan di Taman Melewar pada 11 Mac 2023.
Awal minggu ini, adik lelaki Deepak, Rajesh Jaikishan yang juga Pengurus Besar J&E memberitahu mahkamah, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar kerana tiada rundingan langsung dengan kerajaan dalam mendapatkan lesen pengimportan telur.
Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan lisan pada 25 Julai ini. — The Star/NURBAITIHAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram