[VIDEO] Tiga lelaki ragut rantai emas peniaga di Bukit Mertajam guna nombor pendaftaran palsu — Polis


  • 112
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Tangkap layar kes ragut membabitkan tiga penunggang motosikal yang merampas rantai emas dari seorang peniaga di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Khamis.

POLIS giat memburu tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian kes ragut rantai leher milik seorang peniaga air kelapa yang berlaku di Taman Impian Alma, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, tiga suspek yang menaiki dua buah motosikal menghampiri gerai milik mangsa kononnya ingin membeli air kelapa.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka turun dari motosikal dan menghampiri lelaki berusia 40-an itu sebelum bertindak meragut rantai leher miliknya.

BACA LAGI: [VIDEO] Acah nak beli air kelapa, 3 mat motor ragut rantai emas peniaga di Bukit Mertajam

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di mana-mana ada kisah kau Mi. Ya ALLAH kami tak kuat,' kakak polis terkorban Balai Polis Ulu Tiram tahan sebak

"Hasil semakan nombor pendaftaran motosikal suspek mendapati mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sejak Khamis, tular video rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) memaparkan perbuatan tiga lelaki bermotosikal yang berhenti di belakang sebuah kereta berhampiran gerai air kelapa berkenaan sebelum meragut rantai mangsa.

Dalam video berdurasi 60 saat itu juga menunjukkan aksi mangsa mengejar suspek, namun ketiga-tiga lelaki terbabit berjaya meloloskan diri dengan menaiki motosikal.

Sementara itu, Helmi berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Marsila Hamzahdi di talian 04-5382222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram