Gula bukan satu-satunya faktor 1 juta rakyat Malaysia hadapi kemurungan — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun dilaporkan mengalami masalah kemurungan. — Gambar hiasan

PENGAMBILAN gula bukan faktor utama ketidakstabilan emosi yang mendorong kepada kemurungan seperti laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad, terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang masalah ketidakstabilan emosi.

Katanya, tekanan hidup berpunca daripada masalah kewangan, hubungan peribadi, beban kerja, dan tekanan hidup lain boleh menyumbang kepada kemurungan.

BACA LAGI: Masa depan anak autistik kerisauan utama ibu bapa — Pakar

BACA LAGI: 'Setiap tahun hadap masalah sama', penduduk Kampung Jelapang Jaya bengang banjir tiada penyudah

mental-ilnes-681x454

Ketidakstabilan emosi dipengaruhi pelbagai faktor selain pengambilan gula. — Gambar hiasan

"Selain itu, faktor biologi dan genetik keturunan serta perubahan kimia dalam otak juga boleh memainkan peranan. Kesepian dan isolasi sosial disebabkan kurangnya sokongan sosial dan perasaan kesepian boleh memburukkan keadaan mental.

"Bukan itu sahaja, pengalaman trauma pada masa lalu, penyakit kronik atau sakit berterusan boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Fauziah menjelaskan terdapat beberapa langkah selain langkah fiskal iaitu mengenakan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pracampuran yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Fauziah berkata, pihak bertanggungjawab boleh meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kesihatan mental melalui kempen awam dan program pendidikan di sekolah dan tempat kerja.

Bukan itu sahaja, akses perkhidmatan kaunseling dan terapi boleh diperluaskan termasuk menyediakan lebih banyak klinik kesihatan mental dan mempermudah proses mendapatkan bantuan.

"Penggalakan penubuhan kumpulan sokongan dan komuniti yang menyokong individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh juga membantu mengurangkan masalah tersebut," katanya.

shutterstock_627148505

Satu daripada enam kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental. — Gambar hiasan

Tambah Fauziah, kaunseling antara cara berkesan kerana ia dapat memberi ruang yang selamat untuk individu meluahkan perasaan dan mendapatkan pemahaman mengenai emosi mereka.

Langkah itu sekali gus dapat membantu individu mengembangkan strategi untuk mengatasi tekanan dan menguruskan emosi mereka.

"Di samping memberi sokongan emosi dan panduan yang diperlukan untuk melalui masa-masa sukar, cara itu juga membantu menilai tahap kemurungan dan, jika perlu, merujuk kepada pakar psikiatri atau perkhidmatan lain yang lebih khusus," jelasnya.

Terdahulu, NHMS melaporkan, sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan malah ia meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023.

Berdasarkan laporan itu, hampir separuh daripada mereka telah berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

NHMS 2023 turut mendedahkan satu daripada enam kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, dan beban masalah kesihatan mental dilapor meningkat dua kali ganda sejak 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram