Kaki pikat burung akui ada yang masuk jerat kemurungan, rela lepaskan meski redah bahaya sehari suntuk di hutan


  • Hobi
  • Ahad, 12 Mei 2024

Salah seekor burung yang berjaya dibawa pulang oleh Rachi dengan menggunakan burung pikat dan juga jebak.

AKTIVITI memikat burung menjadi salah satu hobi yang sering dijalankan masyarakat terdahulu bagi mengisi masa lapang mereka.

Tidak disangka, masih ada generasi sekarang yang aktif menjalankan aktiviti ini bersama lingkungan kelompoknya.

Lebih mengujakan, aktiviti itu rupanya tidak terhad dijalankan di kawasan hutan malah lokasi di kawasan tengah-tengah pinggir bandar turut menjadi destinasi tumpuan yang sering dituju.

BACA LAGI: Bermula sekadar hobi, isteri atlet para kebangsaan kini tak menang tangan mekap wajah pelanggan

BACA LAGI: Sampai muntah tepi jalan, anak Sabah harungi cabaran berbaju tradisional sambil berbasikal sejauh 60 km

photo1715436129

Muhammad Rachi Ahmad memiliki minat mendalam dalam aktiviti memikat burung.

Seorang 'kaki burung', Muhammad Rachi Ahmad berkata, dia sudah berminat menjalankan aktiviti memikat burung sejak berumur 10 tahun.

"Dahulu masa sekolah rendah selalu ikut arwah ayah saya, Ahmad Ismail ke Tasik Pedu," katanya yang berasal dari Kedah.

Setelah menetap di Kuala Lumpur, banyak 'port' tumpuan yang sering dituju seperti Pulau Indah dan Pulau Carey, di Klang selain di Dengkil dan Sepang.

Memikat burung tidak semudah yang disangka, Rachi kebiasaannya menghabiskan sehari suntuk di kawasan tertentu untuk membawa pulang antara dua hingga empat ekor burung.

"Biasanya dalam pukul 10 pagi banyak burung, pukul 5 petang macam itu pun biasanya masa burung tengah aktif berterbangan," kongsinya.

WhatsApp Image 2024-05-09 at 5.08.22 PM

Salah seekor burung peliharaan Rachi.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, suara burung yang merdu menjadi tarikannya untuk dibawa pulang.

"Kalau peminat burung pasti dia akan tahu burung itu suara merdu atau tidak, dari jauh lagi dengar pun kita dah dapat tahu sama ada suara burung itu boleh dikategorikan suaranya sedap atau tidak," katanya.

Semasa memikat burung, salah satu peralatan penting yang dibawanya bersama adalah bekas perangkap burung atau lebih dikenali sebagai jebak.

"Saya guna jebak yang diperbuat daripada buluh dan besi," katanya.

Selain itu, kongsi Rachi, seekor burung yang digunakan sebagai 'pemikat' turut dibawa untuk menarik perhatian burung liar bagi memasuki perangkap.

"Kita akan bawa kita punya pikat (burung lain). Fungsinya apabila burung pikat yang dibawa berbunyi, burung di hutan pun akan turut menyahut.

"Dari situ kita pilih suara mana yang sedap untuk masuk ke dalam jebak, kalau dengar suara tak merdu biasanya saya lepaskan," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-11 at 22.49.06 (1)

Selain gemar memikat burung, Rachi juga suka memancing.

Sebagai pencinta burung, Rachi turut mendedahkan bahawa ada burung yang mengalami kemurungan selepas ditangkap.

Dek kerana itu, dia terpaksa melepaskan burung itu daripada jagaan meskipun bersusah payah untuk mendapatkannya.

"Ada burung yang ditangkap jadi berubah perangai, mungkin kemurungan dan juga tidak sihat. Dalam tiga empat hari tidak mahu makan.

"Kalau tengok burung yang semuanya berbunyi riuh tetapi seekor itu pula senyap sahaja, maknanya ia mungkin murung, jadi elok lepaskan," katanya.

Menghabiskan masa yang panjang di dalam hutan semestinya menyebabkan Rachi terdedah kepada bahaya lain.

Rachi mengakui pernah terserempak dengan beberapa binatang liar di hutan seperti landak, gajah dan juga beruang ketika berada di dalam hutan.

Banyak burung yang pernah dibela seperti burung merbuk, wak-wak atau ruak-ruak, merbah dan juga tekukur.

Tidak hanya dijadikan belaan, Rachi juga menyukai daging burung untuk dimakan kerana isinya yang kenyal dan liat.

"Biasa kita tahu burung puyuh sedap tetapi sebenarnya burung punai paling sedap.

"Tetapi ramai juga tidak tahu bahawa burung merbuk tidak boleh dimakan. Bahkan kalau ia mati pun ulat tidak mahu makan burung itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram