'Nor Diana murung dan banyak berdiam diri', ibu jururawat hilang lebih 3 minggu bersyukur anak dijumpai sebelum Aidilfitri


  • Massa
  • Isnin, 25 Mac 2024

Nor Diana yang hilang sejak 3 minggu lalu dijumpai selamat di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor pada Isnin.

PENUNTUT Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Nor Diana Mohd Najib yang dilaporkan hilang sejak 29 Februari lepas ditemukan selamat di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor pada Isnin.

Ibunya, Maznah Ismail, 44, berkata, Nor Diana, 21, didapati tinggal bersama kakak angkatnya yang dikenali sebagai Ika sebelum dijemput polis dan ahli keluarga kira-kira pukul 3.50 pagi Isnin.

“Melalui bantuan polis, kami sudah membawa Nor Diana pulang ke rumah anak saudara di Johor dan akan bertolak pulang ke Kelantan petang ini,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

BACA LAGI: 'Kali terakhir nampak di stesen berseorangan tapi tak tahu Nor Diana nak ke mana'

Maznah berkata sejak dijumpai, anaknya kelihatan murung dan banyak berdiam diri serta tidak seceria seperti sebelum ini.

Menurutnya, Nor Diana yang juga penuntut tahun satu Diploma Kejururawatan memaklumkan keluarga tidak memahami situasinya yang mahu berhenti belajar dan ingin bekerja.

“Kami pelik kerana selama ini Nor Diana tidak pernah mengadu masalah semasa belajar, malah pengajian itu pula ialah pilihannya sendiri tanpa ada sesiapa memaksa,” katanya.

BACA LAGI: Irfan Harris rindu puasa PKP, gembira masih dapat jadi imam solat tarawih bersama keluarga

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana Nor Diana ditemukan sekali gus dapat bersama-sama menyambut Aidilfitri ini.

Media sebelum ini melaporkan penuntut ILKMM Kampus Alor Setar, Kedah itu sepatutnya pulang ke rumah keluarga di Perumahan KTMB Tumpat ketika cuti pertengahan semester, namun tidak berbuat demikian dan gagal dikesan keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram