BAGI Nurul Ameera Ain Azizan, kesedaran mengenai kepentingan mempunyai perlindungan keselamatan semasa bekerja sememangnya sudah wujud sejak dia memulakan kerjaya sebagai peguam syarie enam tahun lalu.
Malah, selepas membuat keputusan bekerja sendiri dengan membuka firma guaman kira-kira dua tahun lalu, ibu kepada dua orang anak ini juga terus melakukan caruman secara sukarela di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan mengambil pelan caruman sebanyak kira-kira RM157.20 untuk tempoh setahun.
Disebabkan itu, sebaik mengetahui mengenai inisiatif Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), dia tidak menunggu lama untuk mendaftar di bawah program berkenaan pada tahun ini.
BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ
BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'
Ini kerana menurutnya, dia sangat teruja dengan harga bayaran caruman cukup murah ditawarkan menerusi inisiatif tersebut iaitu pada harga RM23.30 bagi tempoh setahun.
Gembira dengan insentif itu, Nurul Ameera, 32, turut berkongsikan mengenai program SKSPS itu di laman Facebooknya.
Tanpa disangka-sangka, ramai kenalan dan juga pengikut media sosialnya tampil bertanyakan mengenai perlindungan keselamatan tersebut.
"Lepas saya buat perkongsian tersebut, rupanya ramai kawan-kawan saya tak tahu mengenai inisiatif ini. Kemudian ada juga yang tanya dan minta ajar untuk macam mana nak daftar," katanya kepada Majoriti.
Nurul Ameera sudah berkhidmat sebagai peguam syarie selama enam tahun.
Menurutnya, rata-rata daripada mereka yang bertanya itu turut terdiri daripada rakan kerjanya yang bekerja dalam bidang guaman.
"Kebanyakan yang tanya itu termasuk kebanyakannya peguam. Sebab seperti yang diketahui ini, kerjaya kami ini juga memerlukan kami untuk memandu dan banyak habis di atas jalan raya.
"Jadi risiko kemalangan itu memang agak tinggi," ujarnya yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor.
Dalam pada itu, Nurul Ain menyifatkan sistem pendaftaran yang disediakan PERKESO untuk program SKSPS tersebut juga adalah cukup mudah.
Hanya dengan berkongsikan dokumen pengenalan diri dan pengesahan maklumat pekerjaan secara dalam talian, seseorang individu boleh melengkapkan proses menjadi pencarum.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan peruntukan untuk membantu golongan bekerja sendiri dengan menaikkan lagi kadar subsidi daripada 80 kepada 90 peratus untuk pelaksanaan inisiatif SKSPS.
Malah, katanya, kesemua proses tersebut boleh dilakukan secara dalam talian dan boleh diselesaikan hanya dalam tempoh tidak sampai satu jam.
"Untuk pengesahan, hanya perlu lampirkan kad pengenalan dan sijil peguam saya. Jadi bagi saya memang sangat mudah. Tak perlu kongsi dokumen syarikat dan sebagainya," ujarnya yang bekerja sendiri selepas mendirikan firma guaman sendiri sejak dua tahun lalu.
Sehubungan itu, dia cukup menggalakkan orang ramai terutamanya yang bekerja sendiri bagi mendapatkan perlindungan dengan mencarum di bawah SKSPS.
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri merupakan pelan perlindungan bagi Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang merangkumi perlindungan bencana pekerjaan sendiri dan penyakit pekerjaan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Sehingga 15 Mac 2024, terdapat sebanyak 42,687 OBS yang mendapat perlindungan sosial SKSPS melalui inisiatif terbaharu daripada Belanjawan 2024.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan peruntukan untuk membantu golongan bekerja sendiri dengan menaikkan lagi kadar subsidi daripada 80 kepada 90 peratus untuk inisiatif tersebut.
Ia bermakna, daripada bayaran caruman SKSPS yang bernilai RM209.50, 90 peratus daripadanya akan ditanggung kerajaan sementara OBS hanya perlu membayar baki RM23.30 setahun untuk mendapat perlindungan sosial SKSPS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram