Letih tempuh jalan berlubang macam kawah bulan, gunalah 3 aplikasi ini buat aduan masalah setempat


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Masalah jalan antara yang sering berlaku dan diadukan kepada pihak berkuasa dalam kalangan penduduk setempat. — Gambar hiasan/Bomba

KERAJAAN sememangnya mengambil pelbagai inisiatif dan pendekatan proaktif terutamanya dalam menyelesaikan masalah dalam kalangan komuniti penduduk di sesuatu kawasan.

Buktinya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming pada Rabu memaklumkan, beberapa jalan di bawah bidang kuasa pihaknya kini giat diperbaiki.

Menurutnya, sebanyak lebih 1,000 jalan sudah diturap demi keselesaan penduduk.

BACA LAGI: Tak perlu panjat pokok dah, kerajaan jamin capaian internet cukup untuk murid luar bandar

BACA LAGI: Pemandu mabuk langgar Siti Nurul Masyitah sah memandu bawah pengaruh alkohol, ada 7 saman trafik tertunggak

GNlRjpXbAAA0Fe2

Kerja-kerja menurap jalan seperti yang dinyatakan Nga Kor Ming baru-baru ini. — Twitter/Nga Kor Ming

Meskipun begitu, terdapat juga kemungkinan untuk berlakunya beberapa masalah atau isu lain di lokasi berbeza.

Selain masalah jalan, kebanyakan penduduk akan menghadapi isu berebut parkir, longgokan sampah, fasiliti golongan istimewa dan banyak lagi.

Bagi membendung ia terus berlarutan, Majoriti menyenaraikan tiga aplikasi disediakan pihak kerajaan untuk seluruh masyarakat menyalurkan sebarang aduan berkaitan masalah di kawasan setempat.

1. i-Tegur

GNmf4dtaoAAE32H

Pengguna boleh membuat pelbagai jenis aduan dalam aplikasi i-Tegur. — Twitter

Aplikasi i-Tegur merupakan satu inovasi baharu yang dibangunkan KPKT untuk memberi kemudahan kepada orang awam bagi membuat sebarang aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara dalam talian.

Platform yang dilancarkan pada Disember 2018, aplikasi itu membenarkan penghantaran aduan bergambar beserta lokasi dengan pantas.

Ia juga memudahkan pengadu untuk memberi maklum balas dan memantau statistik aduan PBT atau JKT melalui pilihan yang disediakan.

Terdapat lebih lima jenis aduan yang boleh dilakukan di dalam aplikasi tersebut, antaranya termasuk masalah infrastruktur bangunan, jalan rosak, parkir kenderaan, pembakaran terbuka, pokok tumbang dan banyak lagi.

Aplikasi itu juga boleh dimuat turun menerusi Google Play (Android) dan App Store (iOS).

2. Respons Rakyat

Aplikasi Respon Rakyat

Pilihan lain yang ditawarkan kepada pengguna. — Majlis Bandaraya Seremban (MBS)

Bukan itu sahaja, orang ramai juga boleh membuat aduan secara digital melalui aplikasi Respons Rakyat.

Mempunyai fungsi seakan-akan sama, aplikasi tersebut disediakan untuk memudahkan orang awam membuat aduan, memberi cadangan, mengemukakan pertanyaan dan menyalurkan penghargaan kepada kementerian serta agensi sektor awam dengan mudah dan pantas.

Pada Januari lalu, Majlis Bandaraya Puteri Iskandar (MBIP) menggesa masyarakat menggunakan aplikasi berkenaan untuk menyalurkan aduan berhubung masalah setempat.

Biro Pengaduan Awam (BPA) pada awal pelancarannya iaitu 2019 mengatakan bahawa aduan turut boleh disampaikan kepada 460 badan kerajaan melibatkan 25 kementerian, 257 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

Lebih menarik apabila aplikasi itu dinaik taraf dengan ciri istimewa yang membolehkan pengadu memuat naik video dan audio.

Ia juga boleh digunakan melalui dua jenis sistem muat turun aplikasi yang sedia ada pada telefon pintar masing-masing.

3. MyJalan KKR

GNnUCb0bYAArUiu

Aplikasi yang diperkenalkan oleh KKR. — Twitter

Aplikasi MyJalan merupakan inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan khusus berkaitan kerosakan jalan yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Ogos 2023.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata, pelaksanaan aplikasi itu bakal menjadi platform aduan setempat (one stop centre) bagi pengguna membuat aduan.

Antara isu yang sering diadukan adalah berkaitan jalan berlubang dan masalah infrastruktur serta fasiliti jalan iaitu papan tanda, penghadang dan lampu jalan.

Penggunaan aplikasi tersebut juga merupakan usaha kerajaan demi menjaga aset awam yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram