SEORANG jemaah wanita di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah dilaporkan meninggal dunia sebaik selesai membaca surah Yasin ketika waktu solat Maghrib pada Khamis.
Keadaan Allahyarhamah, Rosnah Ramil, 60, yang dipercayai tidak sedarkan diri itu disedari oleh jemaah wanita yang turut berada berdekatan dengannya.
Berita mengenai pemergian wanita itu turut disahkan pihak masjid menerusi hantaran di Facebook rasminya.
BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ
BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'
"Menjadi saksi kepada sebuah pengakhiran hidup yang sangat baik dan mulia. Dijemput ALLAH usai membaca doa Yasin. Terdahulu, dalam keadaan berpuasa sunat, berbuka puasa di Masjid Negeri bersama suami tercinta, bersolat Maghrib berjemaah dan membaca Yasin.
"Kembalilah wahai jiwa yang tenang. Kematian yang husnul khotimah. Menjadi pengajaran, iktibar dan pedoman buat kami semua yang masih hidup," ujar hantaran berkenaan pada Jumaat.
Antara jemaah yang berada di masjid berkenaan ketika kejadian. — Facebook
Beberapa foto dikongsikan turut memaparkan keadaan Allahyarhamah yang terbaring di ruangan solat wanita.
Difahamkan, arwah Rosnah sememangnya antara jemaah yang aktif hadir ke masjid berkenaan bersama suaminya untuk menunaikan solat jemaah.
Pihak masjid memaklumkan jenazah arwah dijangka dikebumikan pukul 11 pagi di Kampung Telaga Mas, Pokok Sena. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram