Malang tidak berbau, Siti Nurul Masyitah antara 4 atlet terbabit nahas kecelakaan jalan raya


  • 112
  • Khamis, 16 Mei 2024

Siti Nurul Masyitah Elias merupakan antara empat atlet kebangsaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak 2017.

SABAN hari rakyat disajikan dengan berita kemalangan membabitkan orang awam yang nahas akibat kecelakaan di jalan raya.

Turut tidak terlepas daripada tragedi berkenaan, berita korban membabitkan atlet kebangsaan juga pernah mencetuskan kekecohan ramai dek insiden yang menimpa mereka ketika memandu.

Terbaharu, atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 20, terpaksa ditidurkan selepas selesai menjalani pembedahan lebih lima jam pada Selasa.

Ia susulan kemalangan yang berlaku di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor Bahru, Johor Sabtu lalu apabila seorang pemandu dari arah belakang secara tiba-tiba merempuh Masyitah yang sedang menunggang motosikal di laluan terbabit.

Mangsa kemudiannya diseret sejauh 600 meter sewaktu pelanggaran tersebut.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga lagi kes kecelakaan jalan raya membabitkan atlet kebangsaan yang pernah terpahat dalam sejarah negara sebelum ini.

2469455

1. Atlet snuker negara maut kemalangan

Bintang remaja sukan snuker negara, Muhammad Afiq Abdullah, 13, maut selepas kereta dinaiki bersama empat ahli keluarganya terbabit kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran susur ke Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan pada 21 Disember 2023.

Ketika kejadian, kereta mangsa dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke longkang di bahu kanan jalan.

Insiden tersebut mengakibatkan atlet muda negara itu meninggal dunia di tempat kejadian dengan empat lagi mangsa iaitu dua lelaki, seorang wanita dan remaja lelaki hanya mengalami kecederaan.

21433070_10213889831463869_89374187381885380_n-758x426

2. Atlet paralimpik kebangsaan dilanggar lari

Dua atlet para dilaporkan dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor, Selangor pada 7 September 2017.

Kemalangan tersebut melibatkan empat atlet berbasikal daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedang menjalani latihan bersama satu pengiring bermotosikal.

Kesemua mangsa dilaporkan cedera parah akibat kejadian tersebut.

Menurut polis, empat basikal dan sebuah motosikal yang ditunggang atlet serta pengiring tersebut menuju ke arah Rawang daripada arah Ijok, telah dilanggar sebuah kereta Hilux yang hendak menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri, Selangor.

Sejurus kemalangan tersebut, pemandu itu terus melarikan diri daripada tempat kejadian.

photo_2024-05-15_18-24-54

3. Atlet angkat berat Kelantan maut kemalangan lori

Atlet angkat berat Kelantan, Mohamad Alif Haiman Othman, 22, maut selepas lori dinaikinya bersama pemandu hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Perol – Peringat, Kampung Padang Mengkali, Kota Bharu, Kelantan pada 13 Ogos 2020.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan ketika itu, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 pagi.

Menurutnya, lori jenis Isuzu yang dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Perol menghala ke Peringat, Kelantan ketika kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, lori dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tiang penghalang di kiri jambatan menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbalik.

Insiden itu mengakibatkan Mohamad Alif yang berada di tempat duduk penumpang tercampak ke tingkap sebelah pemandu dan tersepit di dalam lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram