Vern's mohon maaf, akui logo kasut tak sempurna, tiada niat niat perlekeh hina kalimah ALLAH


  • Massa
  • Ahad, 07 Apr 2024

Gambaran sebuah kasut tumit tinggi yang menjadi ilham kepada reka bentuk logo di tapak kasut dikeluarkan Vern's Holding Sdn Bhd.

PIHAK pengurusan Vern's Holding Sdn Bhd yang terlibat dalam isu logo kasut mirip kalimah ALLAH menjelaskan bahawa ia diilhamkan daripada bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

Pihaknya dilaporkan berkata, penghasilan reka bentuk logo tersebut tidak bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

BACA LAGI: Jakim akan panggil pihak terlibat isu kalimah ALLAH di tapak kasut pada Isnin — Na'im

434868584_729306039370098_3282793739875592349_n

Reka bentuk logo yang dikatakan mirip kalimah ALLAH.

Vern's juga memohon maaf kepada orang ramai kerana telah menimbulkan salah faham serta menyinggung banyak pihak terutamanya umat Islam di Malaysia.

"Pertama sekali, ingin dijelaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

"Kami berharap agar diberikan ruang untuk menjelaskan reka bentuk logo tersebut. Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan," katanya memetik laporan Berita Harian.

Pihaknya bagaimanapun mengakui, terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

BACA LAGI: Kalimah ALLAH samar-samar, usah berlebih-lebih tafsir sebagai penghinaan

2632977

Pihak Vern's yang mengakui terdapat ketidaksempurnaan di logo tersebut sehingga mencetuskan salah faham.

Menurutnya, pihak mereka mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

"Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

"Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan," jelasnya.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk mengambil keterangan pihak terlibat dalam isu berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau mengarahkan Jakim meneliti dakwaan mengatakan kalimah yang diletakkan pada tapak kasut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram