Gangguan air berjadual di Lembah Klang, 7 kawasan terjejas antara 5 hingga 7 Jun


  • Primer
  • Isnin, 13 Mei 2024

Beberapa kawasan di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air pada 5 hingga 7 Jun ini. — Gambar hiasan

SEBANYAK tujuh kawasan di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual sementara pada 5 hingga 7 Jun ini.

Antara kawasan yang dijangka terjejas adalah di sekitar Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam.

Air Selangor dalam kenyataan di Facebook pada Isnin memaklumkan, gangguan itu berikutan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam pada 5 Jun.

BACA LAGI: Masalah air di UMS masih belum selesai, LRA Telibong 2 Fasa 2 antara jawapan atasi krisis berpanjangan

BACA LAGI: UMS sahkan tangki air kolej KKTPAR tercemar, tak jejas sumber air utama pelajar

Menurutnya, pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula pukul 3 pagi, 6 Jun setelah kerja-kerja berkenaan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan.

"Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus pukul 3 petang, 6 Jun diikuti dengan 90 peratus pada 3 pagi, 7 Jun.

"Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pukul 12 tengah hari, 7 Jun," menurut kenyataan itu yang turut menyenaraikan kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air berkenaan.

Tambahnya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan di kawasan yang terjejas berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Justeru, Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di kawasan yang terjejas dengan menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat).

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram