Malaysia berdepan risiko jika salah guna visa pelancong kerjakan Haji


  • Massa
  • Rabu, 15 Mei 2024

Malaysia antara tiga negara diberi keistimewaan mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong oleh kerajaan Arab Saudi.

MALAYSIA berdepan kemungkinan akan kehilangan keistimewaan jika melanggar undang-undang dan peraturan Arab Saudi jika rakyatnya terus menyalahgunakan visa pelancong untuk mengerjakan Haji.

Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman meminta rakyat Malaysia untuk menghentikan perbuatan tersebut kerana ia mencemarkan nama negara.

Syed Salleh berkata demikian selepas berlaku insiden 300 jemaah terkandas di Makkah akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pakej haji dengan harga murah.

BACA LAGI: Pulang ke tanah air jika tiada visa haji sah — Mohd Na’im

BACA LAGI: Kos haji semakin meningkat, HAFIS antara bantuan disediakan demi ringankan beban

Datuk-Seri-Syed-Saleh-Syed-Abdul-Rahman

Syed Salleh mahu jemaah haji Malaysia patuhi peraturan di Arab Saudi. — Agensi

"Setakat ini rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong. Saya nasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi," kata Syed Salleh.

Untuk rekod, Malaysia merupakan tiga negara yang memperoleh keistimewaan mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong oleh kerajaan Arab Saudi. Selain Malaysia, Brunei dan Kazakhstan turut mendapat keistimewaan yang serupa.

Walaupun mempunyai keistimewaan tersebut, Syed Salleh menegaskan yang untuk mengerjakan haji, semua jemaah dari luar Arab Saudi termasuklah Malaysia mesti mempunyai visa haji.

Dengan kerajaan Arab Saudi kini giat melakukan sekatan jalan raya bagi memastikan mereka yang memasuki kawasan ibadat haji menggunakan visa haji, ia cukup penting buat rakyat Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan negara tersebut.

"Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagainya tidak dibenarkan melaksanakan haji melainkan visa haji iaitu visa rasmi bagi setiap negara ataupun ‘mujamalah’ kepada orang tertentu ini sahaja untuk menunaikan haji.

"Saya ingin tekankan sudah menerima beberapa laporan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa mereka sudah mula membuat tangkapan kepada agensi yang cuba menawarkan khidmat haji kepada mereka yang datang menggunakan visa pelancong ataupun visa umrah," ujarnya.

Sekiranya tertangkap, denda sebanyak SAR10,000 (RM12,500) bakal dikenakan bagi kesalahan individu. Manakala untuk ejen pula, hukuman denda SAR50,000 (RM63,000) serta penjara akan menanti jika bersalah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram