
TULAR tindakan beberapa individu melepaskan ribuan anak ikan yang dipercayai terletak di bawah senarai spesies larangan ke sungai sehingga menimbulkan kemarahan warganet.
Kejadian yang difahamkan berlaku di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak itu tersebar selepas ia dikongsikan di sebuah Group Facebook, TaNjOnG MaLiM KiNi group pada Ahad.
"Pelepasan 10,000 anak ikan keli di Sungai Hulu Bernam," tulis hantaran dibuat oleh CCTV TG MALIM di group tersebut.
BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’
Berdasarkan klip tersebut, selonggok plastik dipercayai berisi anak ikan keli dilihat berada di tepi sungai.
Pada masa sama, dalam salah satu video dikongsikan memaparkan seorang lelaki sedang melepaskan isi dari dalam plastik berkenaan ke dalam sungai terbabit.
Menerusi foto dimuat naik, terdapat sekurang-kurangnya dua lelaki dewasa dilihat berada di lokasi berkenaan.
Perbuatan tersebut menimbulkan kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan tersebut berpotensi merosakkan ekosistem sungai terbabit.
"Belajar la sikit pasal ekosistem ni, pasal hidupan asal, ini main tuang sahaja. Ikan yang dilepaskan adalah spesies keli Afrika, keli yang kita buat lele penyet dan salai tu la. Jenis invasive species dan tahan lasak serta cepat membiak.
"Ia membahayakan kepada spesies ikan asal, dan Sungai Hulu Bernam ni juga ada program pelepas benih udang galah secara berjadual. Jadi apa guna buat pelepasan benih udang galah berjadual kalau nelayan sungai tak sempat merasa?
"Masalah ni akan memberi kesan besar pada nelayan sungai sekitar dan ke hilir," tulis apaiothmn di laman X.
Ujarnya, pada waktu ini, terdapat banyak spesies ikan larang yang didakwa hidup dan membiak di sungai utama di semenanjung.
Antara yang paling banyak menurutnya ialah ikan baung ekor merah atau redtail catfish dan ikan peacock bass.
"Betul, memang banyak dah taburan ikan pendatang kat negara kita tapi masih boleh dikawal sebenarnya, janganlah sampai jadi macam negara-negara besar yang mula terpaksa berbelanja bukan setakat juta malah ada sampai bilion dolar hanya untuk mengawal pembiakan," tulis apaiothmn lagi.
Pada waktu ini, terdapat sekurang-kurangnya kira-kira 26 spesies ikan dilarang dilepaskan ke perairan umum yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan (DOF).
Majoriti sudah menghubungi DOF untuk mendapatkan komen berhubung insiden tular terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram