[VIDEO] DOF kenal pasti suspek bantu siasatan video tular lepaskan ikan larangan di Tanjung Malim


  • Primer
  • Isnin, 13 Mei 2024

Tular satu video pada Ahad memaparkan tindakan beberapa individu didakwa melepaskan ribuan anak ikan yang dipercayai terletak di bawah senarai spesies larangan di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.

JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) sedang mengenal pasti suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian tular pada Ahad melibatkan tindakan beberapa individu dipercayai melepaskan ikan larangan di Sungai Ulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, aduan mengenai perkara tersebut diterima oleh Pejabat Perikanan Negeri Perak pada Ahad.

Ujarnya, DOF juga mengadakan konsultasi bersama pihak berkaitan termasuk persatuan terlibat.

BACA LAGI: [VIDEO] Sabah Sarawak dah lama buat tapi ada sebab konsep niaga 'based on trust' tak boleh pakai di Semenanjung

BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’

"Ikan asing yang dilepas secara tidak bertanggungjawab di Sungai Ulu Bernam amat mendukacitakan kepada jabatan.

"Sungai Ulu Bernam masih kaya dengan ikan asli tempatan. Atas kesedaran ini pihak jabatan akan turut memantau dan melaksanakan usaha pemerhatian sumber melalui inventori perikanan darat," katanya pada Isnin.

Terdahulu, Majoriti melaporkan mengenai satu video tular yang memaparkan tindakan beberapa individu didakwa melepaskan ribuan anak ikan yang dipercayai terletak di bawah senarai spesies larangan di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu, Adnan berkata, DOF sebelum ini sudah pun melakukan hebahan mengenai kemudaratan terhadap ekosistem perikanan oleh spesies ikan asing yang dilepaskan ke perairan umum.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua pihak berhasrat untuk melepaskan ikan ke perairan umum supaya terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada pejabat Jabatan Perikanan terdekat.

"Jabatan menggalakkan pelepasan ikan tempatan ke perairan umum contohnya seperti ikan lampam asli. Kepentingan pemuliharaan ekosistem sungai terutamanya ikan asli adalah tanggungjawab bersama.

"Pelepasan ikan asing akan menjejaskan usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh DOF serta pihak komuniti dan orang perseorangan berkaitan dengan pemuliharaan ikan asli tempatan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram