SEORANG pelajar wanita di sebuah kolej di China yang mempunyai penyakit jantung kongenital meninggal dunia secara tiba-tiba selepas dipaksa oleh gurunya untuk mengambil bahagian dalam satu acara sukan
Menurut media tempatan, New Yellow River, pelajar tahun pertama Kolej Perubatan Baicheng di timur laut wilayah Jilin itu dilaporkan mengalami sawan ketika berlari bersama rakan sekelasnya pada 12 April lalu.
Susulan daripada insiden terbabit, remaja yang dikenali sebagai Zhao dibawa ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia dua hari kemudian.
BACA LAGI: ‘Saya hari-hari berkomunikasi dengan PM', Amirudin sangkal dakwaan Anwar boikot kempen PRK KKB
Keluarga remaja tersebut mendakwa terdapat kecuaian daripada pihak guru sehingga mengakibatkan kematian gadis tersebut. — Agensi
Ibu saudara mangsa, Wang berkata, Zhao sudah menyerahkan dokumen perubatan yang membuktikan dia menghidap penyakit jantung kongenital ke kolej itu tahun lepas dan diberikan pengecualian daripada aktiviti sukan.
Bagaimanapun, tutornya yang dikenali sebagai Song didakwa mengarahkan gadis itu untuk menyertai larian baru-baru ini.
Katanya, guru lelaki itu dikatakan menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap Zhao bermula awal April lalu selepas pelajar terbabit dikatakan memberikan hadiah berupa ikan hidup kepada isterinya.
Bagaimanapun, ikan tersebut dilaporkan mati ketika ia tiba di rumah pasangan berkenaan.
“Guru itu marah dan menyukarkan segala-galanya untuk anak buah saya," ujarnya.
Menurut Wang, guru berkenaan juga didakwa menuduh dokumen perubatan yang dikongsikan adalah palsu dan sekali gus memaksa Zhao untuk tetap berlari.
Wanita itu berkata, sebelum kejadian, anak saudaranya juga digugurkan daripada jawatan sebagai ketua kelas.
Sewaktu acara larian pada 12 April itu, Song dilaporkan memberitahu pelajar lain supaya tidak mendekati Zhao yang sudah diserang sawan.
Menurut rakan sekelas mangsa, lelaki tersebut juga dilaporkan tidak menghubungi pasukan kecemasan segera, sebaliknya hanya menghubungi pengurusan kolej.
“Jika kami telah berusaha untuk menyelamatkannya tepat pada masanya, saya fikir ia akan berkesan. Tetapi tutor tidak membenarkan kami mendekatinya,” kata rakan sekelas itu, yang enggan dikenali.
BACA LAGI: Penubuhan SAVe dijangka setahun, dua lagi — Exco Selangor
Ahli keluarga mangsa turut melakukan protes menuntut bela keadilan atas kematian yang berlaku. — Agensi
Media tidak dapat menghubungi Song untuk mendapatkan komen. Lelaki itu juga difahamkan telah mematikan telefon pintarnya.
Seorang pegawai dari pejabat pentadbiran sekolah mengesahkan Zhao meninggal dunia akibat penyakit jantung, tetapi tidak dapat menjelaskan mengenai penglibatan Song ketika kejadian.
"Polis sedang menyiasat kes itu dan kami sedang bekerjasama," kata pegawai terbabit.
Meskipun jarang berlaku, kematian pelajar akibat kemalangan di kampus sering kali mendapat perhatian pengguna media sosial di China.
Pada 2021, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di barat daya wilayah autonomi Guangxi Zhuang meninggal dunia akibat kecederaan otak selepas kepalanya terhantuk ke dinding apabila dirempuh seorang pelajar yang sedang berlari di koridor.
Walaupun gadis itu pengsan di tempat kejadian, gurunya tidak memberitahu ibu bapanya atau menghantarnya ke hospital sehingga beberapa jam kemudian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram