
KEHADIRAN ikan keli Afrika yang merupakan spesies ikan asing di dalam sungai di Malaysia berisiko menimbulkan masalah terhadap tahap ekosistem hidupan air tawar negara.
Penyelidik dan Pakar Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Amiruddin Ahmad berkata, meskipun kesannya tidak seburuk seperti ikan pemangsa asing seperti baung ekor merah, spesies ikan berkenaan tetap berpotensi memberi impak negatif terhadap ekosistem sungai di Malaysia.
Ujarnya, secara umum, ikan keli Afrika merupakan spesies pemangsa yang memakan bangkai ikan atau ikan bersaiz kecil.
BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’
"Dia boleh memakan spesies seperti udang atau ikan bersaiz lebih kecil. Kalau dia dilepaskan di habitat yang sumber makanannya mencukupi, itu mungkin tidak menganggu.
"Tapi kalau di habitat itu makanan tidak mencukupi, itu akan menyebabkan berlakunya persaingan dengan ikan tempatan lain termasuk ikan keli tempatan itu sendiri.
"Selain itu, ikan baung merah pun sebenarnya tinggal pada habitat yang sama dengan spesies ikan keli Afrika ini. Jadi akhirnya, kalau perkara ini berterusan, dia akhirnya akan jadi satu masalah," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden tular sejak Ahad melibatkan beberapa individu yang melepaskan ribuan anak ikan yang dipercayai terletak di bawah senarai spesies larangan di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.
Amiruddin bagaimanapun berkata, kajian khusus terhadap impak kehadiran ikan keli Afrika terhadap ekosistem sungai tempatan masih belum begitu meluas.
Untuk rekod, ikan keli Afrika merupakan salah satu di antara puluhan spesies ikan dilarang dilepaskan ke perairan umum yang dikeluarkan Jabatan Perikanan (DOF).
Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, tindakan melepaskan ikan larangan itu sememangnya berisiko memberi kesan terhadap sekuriti makanan ikan air tawar di Malaysia sekiranya ia dibiarkan berlaku untuk jangka masa yang panjang.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi itu ketika ini masih tidak begitu merisaukan memandangkan rakyat di Malaysia lebih menjadikan ikan ternakan sebagai pilihan sumber protein utama berbanding ikan air tawar liar.
"Tapi kita masih kena terus kawal dan pantau aktiviti melepaskan ikan terlarang ini supaya ia tidak menjadi sesuatu yang tidak terkawal," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram