'Saya perlu sara anak', bekas Sarjan polis wanita merayu lepas didenda RM8,000 akibat terima rasuah tutup kes cabul


Seorang bekas anggota polis wanita berdepan tuduhan rasuah melibatkan kes jenayah cabul di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

SEORANG bekas anggota polis wanita didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin kerana menerima rasuah untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nur Mastisha Maidinsha, 39, mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,000 daripada bapa suspek.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mencadangkan untuk selesaikan tanpa siasatan iaitu membayar wang sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap anak lelaki yang juga suspek kes cabul.

BACA LAGI: Negara hilang RM277 bilion akibat rasuah sejak 5 tahun lepas — SPRM

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

Mahkamah dalam pada masa sama memerintahkan Nur Mastisha dipenjara 40 hari jika gagal membayar denda.

Untuk rekod, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur pukul 8 malam pada 1 Oktober 2022 dan kesalahan kedua di sebuah stesen minyak di Cheras, Kuala Lumpur pukul 8.05 malam pada 12 Oktober 2022.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya melancarkan operasi untuk menahan tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Semasa menjatuhkan hukuman pada Isnin hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin memberitahu Nur Mastisha Maidinsha bahawa tindakannya itu turut menjejaskan orang lain termasuk anak-anaknya yang masih kecil.

Nur Mastisha yang juga merupakan bekas sarjan di Jabatan Penyiasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias ​​meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

Beliau berkata, tertuduh telah mengaku bersalah tetapi ini tidak bermakna dia dibebaskan daripada kesalahan jenayah tersebut.

"Rasuah telah mencemarkan nama polis dan mencemarkan nama baiknya, menyebabkan defisit kepercayaan rakyat terhadap polis, sebuah badan yang diamanahkan untuk menjaga negara," katanya.

Semasa mitigasi, Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam, merayu untuk hukuman ringan berkata, dia tidak pernah menghadapi tindakan tatatertib atau jenayah sepanjang 19 tahun perkhidmatannya.

"Ini adalah kesalahan pertama saya dan meminta denda yang lebih ringan dikenakan kerana saya perlu menyara anak dan mempunyai hutang RM4,500 untuk diselesaikan setiap bulan.

"Bukan senang untuk saya mendapat pekerjaan baharu," katanya.. — The Star/Nurbaiti Hamdan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram