PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) kini memasuki minggu kedua tempoh berkempen.
Bermula pada 27 April lalu, parti dan calon bertanding mula menggerakkan jentera dan ahli masing-masing bagi berkempen menarik sokongan pengundi di kawasan tersebut.
Dalam tujuh hari pertama tempoh tersebut, suhu kehangatan dan perjalanan kempen berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden di luar jangka meskipun ramalan awal beberapa pihak menjangkakan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja bakal mewarnai tempoh berkempen pada kali ini.
BACA LAGI: ‘Saya hari-hari berkomunikasi dengan PM', Amirudin sangkal dakwaan Anwar boikot kempen PRK KKB
Dari kiri: Khairul Azhari, Sock Tao, Hafizah dan Ke Xin akan bersaing bagi merebut kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dalam PRK kali ini.
Pada ketika ini, kesemua calon juga dilihat memberikan tumpuan terhadap kubu masing-masing.
Pada masa sama, terdapat juga beberapa usaha dimainkan bagi menimbulkan menjatuhkan reputasi lawan masing-masing.
Empat calon bertanding pada PRK kali ini ialah Pang Sock Tao yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Berikut Majoriti senaraikan rangkuman empat isu utama yang menjadi tumpuan dalam tempoh minggu pertama kempen PRK KKB.
1. Pertikaian status pendidikan calon
Pertikaian mengenai status taraf pendidikan calon menjadi antara isu terawal yang dimainkan dalam kempen PRK kali ini.
Seawal hari pertama, calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari yang juga Ketua Bersatu Hulu Selangor menjadi sasaran pihak lawan.
Ia selepas perkongsian latar belakang pendidikannya menimbulkan tanda tanya khususnya dalam kalangan warganet.
Berdasarkan maklumat tertera, beliau dilapor memperoleh Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 sebelum disusuli ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beberapa pihak termasuk pemimpin Umno yang bertindak menyoal kelayakan dan kesahihan pendidikan calon PN itu yang mengambil tempoh hanya dua tahun melengkapkan perjalanan dari diploma kepada ijazah sarjana.
Susulan daripada itu, UMP tampil memberikan pengesahan berhubung kelulusan diperoleh oleh Khairul Azhari.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr Ahmad Johari Mohamad berkata, Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada majlis konvokesyen pada tahun 2021.
Ahmad turut menjelaskan pemegang diploma boleh melanjutkan pengajian terus ke peringkat Sarjana Eksekutif di UMPSA dengan memenuhi syarat-syarat kelayakan pengalaman kerja yang telah ditetapkan dan dengan syarat pemohon perlu melepasi Penilaian Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (ROPE) di UMPSA.
Khairul Azhari Saut
Dalam pada itu, Sock Tao turut menjadi sasaran pihak lawan yang mempersoalkan latar belakang pendidikannya termasuk sama ada beliau menduduki SPRM dan UPSR.
Menjawab mengenai isu tersebut, beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tampil berkongsikan keputusan cemerlang dicapainya bagi menutup mulut pihak lawan.
Pada masa sama, penyokong PN dilihat cuba menggunakan latar belakang Sock Tao sebagai pelajar aliran vernakular untuk menyerangnya.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari tampil cuba untuk menenangkan keadaan dengan berharap agar isu sekolah vernakular itu tidak terus dimainkan.
Beliau turut memohon maaf kerana tindakannya yang membangkitkan mengenai status pendidikan calon PH tersebut.
2. Kontroversi tuduhan calon buat hutang dengan along
Tiada angin tiada ribut, tular satu dakwaan di media sosial yang memalitkan nama calon PN, Khairul Azhari sebagai individu yang memiliki hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat kredit komuniti.
Menerusi hantaran yang dibuat itu, terdapat pihak mempertikaikan kredibilitinya untuk dipilih sebagai calon Adun KKB meskipun gagal membayar hutang.
Bagaimanapun, Khairul Azhari pada Sabtu menafikan dakwaan tersebut.
Beliau turut menyifatkan ia sebagai satu fitnah jahat.
Meskipun mengakui ada berhutang untuk perniagaannya sama seperti individu lain, ia tidak melibatkan pinjaman daripada kegiatan along.
3. Dua menteri sedia disiasat SPRM
Dzulkefly (kiri) dan Kor Ming didakwa melakukan tindakan yang dipercayai merupakan satu kesalahan dalam peraturan pilihan raya.
PRK kali ini menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) turut menjadi antara nama yang menghiasi laman berita sepanjang tempoh berkempen.
Ia selepas terdapat kes melibatkan dua menteri yang didakwa memberikan wang tunai dan peruntukan buat pengundi dan kawasan tersebut.
Kes pertama melibatkan pengumuman peruntukan RM5.21 juta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Perkembangan tersebut menimbulkan rasa kurang senang daripada PN dan juga NGO pemantau pilihan raya yang khuatir bahawa tindakan tersebut berpotensi menyalahi peraturan pilihan raya.
Ini kerana ia dibuat betul-betul menjelang PRK KKB.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Kor Ming berkata, peruntukan itu adalah untuk pembangunan daerah tersebut dan tidak mempunyai kaitan kaitan dengan PRK yang diadakan.
Malah, beliau berkata, pemberian peruntukan terhadap kawasan itu juga dilakukan kerana menyifatkan ia sebagai tempat yang memiliki tuah atau 'ong'.
Sementara itu, kes kedua pula melibatkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang didakwa mengedarkan sampul duit raya yang tertera gambar beliau kepada pengundi di KKB.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sedia disiasat berhubung dakwaan mengedarkan sampul duit raya yang tertera gambar beliau kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.
Dalam kenyataannya menyentuh mengenai isu tersebut, Dzulkefly berkata, pemberian duit raya merupakan amalannya sewaktu menyantuni kakitangan KKM dan pesakit di wad.
Kor Ming dan Dzulkefly kedua-duanya secara terbuka menyatakan kesediaan mereka untuk disiasat SPRM sekiranya agensi tersebut mahu menyiasat sama ada terdapat unsur yang menyalahi peraturan pilihan raya.
BACA LAGI: Bas tak cukup, caj parkir antara 4 isu utama menghantui penduduk KKB sejak berpenggal lamanya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
4. Dakwaan PM boikot PRK KKB
Turut melatari minggu pertama kempen PRK KKB adalah mengenai ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turun berkempen.
Ia selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi bayangan bahawa Anwar berkemungkinan tidak akan turun ke kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan.
Perkembangan itu menyebabkan terdapat pihak termasuk pemimpin pembangkang tampil mempersoalkan sama ada keputusan itu dilakukan kerana perdana menteri mahu PRK yang sedang berlangsung.
Tambahan pula, terdapat sedikit pergeseran melibatkan anggota parti komponen Kerajaan Perpaduan sebelum bermulanya PRK kali ini termasuk membabitkan keputusan MCA untuk tidak ikut serta dalam kempen.
Bagaimanapun, menjawab mengenai isu tersebut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan mengenai dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai tidak benar sama sekali.
Menurutnya, ketiadaan Perdana Menteri ketika kempen PRK bukanlah sesuatu yang ganjil kerana ia pernah juga berlaku dalam pilihan raya kecil sebelum ini.
“PM tak turun ke Simpang Jeram (PRK), dan tidak boikot. PM turun ke Pulai sahaja sesuai dengan tanggungjawab beliau di Parlimen.
“Itu sentimen yang sangat tidak betul. Saya sendiri bincang dengan PM. PM sendiri rasa kalau beliau perlu turun beliau akan turun.
“Saya rasa itu cuma pandangan yang tak tepat langsung sebab saya hari-hari berkomunikasi dengan beliau,” katanya.
Hari pengundian PRK KKB akan berlangsung pada 11 Mei depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram