SEJAK beberapa minggu lalu, ubi kayu secara tiba-tiba menjadi makanan popular yang hangat dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Lonjakan populariti tanaman itu berlaku selepas Speaker Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan supaya ubi kayu dijadikan sebagai sumber karbohidrat alternatif kepada nasi.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, langkah tersebut boleh dipertimbangkan sementara menunggu negara menyelesaikan isu bekalan beras di dalam negara.
Cadangan tersebut bagaimanapun ternyata mengundang kritikan dan sindiran di media sosial dalam kalangan warga maya.
Rata-ratanya, mereka menganggap cadangan menjadikan ubi kayu sebagai makanan ruji itu sebagai satu jenaka.
Johari mencadangkan supaya ubi kayu dijadikan sebagai sumber karbohidrat alternatif kepada nasi.
Malah, mereka juga berpandangan situasi itu juga mengingatkan kembali kepada situasi krisis dihadapi negara ketika zaman penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Ini kerana, pada waktu itu, rakyat Malaysia terpaksa menjadikan ubi kayu sebagai makanan utama kerana kesukaran untuk mendapatkan makanan lain.
Mengulas mengenai cadangan tersebut, pakar pemakanan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norhasmah Sulaiman berkata, secara asasnya, terdapat beberapa prasyarat perlu dipenuhi untuk membolehkan sesuatu makanan itu menjadi makanan utama.
"Maksud makanan ruji merupakan makanan utama bagi sesebuah negara dan ia berbeza antara satu negara dengan negara lain.
"Asas utama makanan ruji adalah ia merupakan makanan berkanji dan dapat memiliki nutrien yang mampu membekalkan sumber tenaga yang tinggi.
"Harga makanan ruji juga tidak boleh terlalu mahal sehinggakan penduduk tidak mampu untuk membelinya. Selain itu, ianya boleh disimpan lama dan dapat diperolehi sepanjang tahun," katanya ketika dihubungi Majoriti.
BACA LAGI: KPKM sahkan kampit beras terbuang di Temerloh rosak, tak selamat dimakan
Profesor Dr Norhasmah Sulaiman
Mengulas lanjut, melihat daripada segi kandungan nutriennya, memiliki khasiat yang serupa seperti nasi.
Malah katanya, ubi kayu juga memiliki kandungan karbohidrat lebih tinggi bagi membekalkan tenaga.
"Dengan menggunakan perbandingan ukuran isi rumah bagi satu cawan untuk 100 peratus bahagian boleh dimakan, ubi kayu membekalkan kalori sebanyak 247kcal dan karbohidrat 87.7 gram (g).
"Ia lebih tinggi berbanding nasi yang memiliki kalori sebanyak 167kcal dan karbohidrat 38.5g bagi ukuran yang sama.
"Dengan erti kata lain, ubi kayu merupakan sumber makanan yang membekalkan tenaga dan karbohidrat lebih tinggi berbanding nasi," katanya.
Bagaimanapun, Norhasmah berkata, kebolehannya untuk menjadi makanan utama rakyat Malaysia tidak bergantung hanya semata-mata kepada keupayaan untuk memberikan tenaga yang tinggi.
Ini kerana pada waktu ini, terdapat dua lagi faktor utama yang menyebabkan ubi kayu itu dilihat belum memenuhi sepenuhnya syarat bagi menjadikannya sebagai makanan ruji di dalam negara.
BACA LAGI: KPB digesa siasat insiden bakar beras di Pahang — Mat Sabu
Penyediaan ubi kayu ketika ini sesuai dijadikan sebagai makanan ringan sahaja. — Gambar hiasan
Dua prasyarat itu adalah cara penyediaan ubi kayu dan juga tahap bekalannya untuk memastikan ketersediaan lebih stabil.
Pada waktu ini menurut Norhasmah, penyediaan ubi kayu ketika ini hanya dijadikan sebagai makanan ringan sahaja.
"Pada masa kini, makanan seperti ubi kayu tidak dijadikan sebagai makanan ruji. Ubi kayu lebih banyak direbus atau diproses untuk dibuat kuih-muih seperti kerepek ubi.
"Ia hanya dijadikan sebagai makanan ringan sahaja. Jadi sekiranya makanan seperti ubi kayu ingin dijadikan sebagai makanan alternatif seperti nasi, kaedah penyediaan perlu lebih sesuai.
"Perlu dipelbagaikan dengan makanan lain seperti sayuran, buah-buahan, ikan, daging, dan telur bagi menghasilkan pemakanan seimbang dan berkualiti," ujarnya.
Dalam pada itu, Norhasmah berkata, tahap bekalan ubi kayu itu juga perlu berada dalam keadaan lebih stabil untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membolehkan ia dijual pada harga mampu milik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram