PULAU percutian Thailand yang terkenal dalam tayangan filem Hollywood 'The Beach' kini menghadapi krisis kekurangan air yang teruk berikutan gelombang panas yang melanda di seluruh Asia, kata seorang pegawai pelancongan dan penduduk tempatan pada Khamis.
Kepulauan Koh Phi Phi, di luar pantai barat selatan Thailand, menarik ratusan ribu pengunjung ke pantainya yang bersih dan perairan birunya setiap tahun.
Namun, gelombang haba teruk yang melanda telah menyebabkan rekod suhu panas tidak menentu di seluruh rantau berkenaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus menyaksikan takungan air juga semakin merosot.
“Syarikat swasta yang membekalkan air ke pulau-pulau mungkin terpaksa menghentikan bekalan,” kata Wichupan Phukaoluan Srisanya, Presiden Persatuan Hotel Krabi, yang mewakili hotel di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa pulau telah membincangkan mengenai penghantaran air dari tanah besar jika cuaca kering berterusan tetapi penangguhan akan dilaksanakan dengan harapan musim hujan tiba pada Mei.
"Tetapi kami ingin memberi jaminan kepada pelancong yang merancang untuk melawat pulau-pulau di sini bahawa kami boleh menguruskannya," tambah Wichupan.
Beberapa penduduk yang enggan identitinya dikenali memberitahu bahawa, mereka telah mengalami kekurangan air tawar selama berbulan-bulan selain turut berkata, beberapa hotel mengalami penurunan tempahan akibat situasi itu.
Bahkan situasi itu menyaksikan ada pelancong yang meninggalkan ulasan di TripAdvisor supaya sesiapa yang berhasrat untuk bercuti di situ terlebih dulu perlu menyemak jika tempat penginapan mereka memiliki air bersih.
Salah seorang pelancong memberitahu, air paip telah berhenti mengalir kerana takungan air pulau telah kering sejak akhir April," tulisnya.
Para saintis sudah lama memberi amaran perubahan iklim berpunca daripada manusia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih kerap, lama dan mencabar.
Walaupun fenomena El Nino membantu memacu cuaca panas bagi tahun ini, negara di rantau Asia juga mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia PBB.
Dalam pada itu, pengendali pelancongan tempatan Thailand difahamkan telah berulang kali meminta pelaburan bekalan air jangka panjang untuk pulau Koh Phi Phi.
Di Teluk Thailand, Koh Samui merupakan sebuah lagi pulau pelancongan yang sangat popular yang turut mengalami cuaca kering dan panas.
“Kami mempunyai air takungan yang mencukupi tetapi ia meningkatkan kos operasi hotel sebanyak tiga kali ganda,” kata presiden Persatuan Pelancongan Koh Samui, Ratchaparon Poolsawadee.
Panas melampau baru-baru ini mengejutkan Asia, mencetuskan kematian akibat strok haba, penutupan sekolah dan keadaan terdesak supaya hujan turun menyejukkan bumi.
Pada April lalu, pihak berkuasa Bangkok memberi amaran panas melampau setiap hari kerana indeks haba meningkat yang mencecah 52 darjah Celsius. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram