Media Singapura buat laporan khas bongkar pemandu, sistem bas ekspres Malaysia


  • Massa
  • Ahad, 05 Mei 2024

Terdapat beberapa kelemahan dari segi keselamatan bas ekspres di negara ini yang didedahkan oleh media Singapura. — Gambar hiasan

MEDIA Singapura melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 32 laporan kes kemalangan melibatkan bas ekspres Malaysia antara 2022 dan Mac 2024.

Berdasarkan laporan khas diterbitkan Channel News Asia (CNA) pada Ahad, sebanyak sembilan daripada jumlah tersebut membabitkan penumpang dari Singapura.

CNA menerusi segmen Talking Point melaporkan, hasil semakan di platform tiket bas seperti BusOnlineTicket, Easybook dan redBus mendapati kira-kira 20 peratus bas melakukan perjalanan antara 10 malam dan 6 pagi bagi laluan Singapura ke Kuala Lumpur.

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

2168954

Sebanyak 32 laporan kes kemalangan melibatkan bas ekspres Malaysia. — Gambar hiasan

Laporan sama mendedahkan kira-kira dua pertiga daripada kes kemalangan yang dilaporkan pada 2022 hingga 2024 berlaku pada waktu tersebut.

CNA pada masa sama mengupas isu tersebut dengan lebih terperinci serta mendedahkan beberapa kelemahan tentang sistem pengendalian bas ekspres Malaysia.

Menerusi tinjauan yang dilakukan pengacara program Talking Point, Diana Ser, terdapat masalah dalam kualiti fasiliti di dalam bas seperti kekurangan tali pinggang yang berfungsi dengan baik.

Katanya, Diana terpaksa menukar tempat duduk sebanyak tiga kali untuk mencari tali pinggang keselamatan yang berfungsi dengan baik.

Bukan itu sahaja, dia mendakwa, terdapat sesetengah pemandu bas kerap memandu melebihi had laju terutamanya pada waktu malam.

Ia dikesan menerusi penjejak kelajuan yang digunakan sepanjang tinjauan dalam perjalanan menaiki bas ekspres itu.

"Kelajuan pemandu boleh mencecah 125 kilometer (km) sejam sedangkan had laju bas di lebuh raya adalah 90 km sejam," katanya sambil memberitahu, perjalanan itu mengambil masa kurang empat jam setengah.

BACA LAGI: Isteri tak endah suami rogol anak hingga lahirkan 2 zuriat

picture11

Diana (kiri) ketika melakukan tinjauannya. — CNA

Lapor CNA lagi, seorang pemandu bas yang hanya dikenali sebagai Krish berkata, kebanyakan mereka tidak akan memecut pada waktu siang.

Krish turut mendedahkan hanya mengambil masa dua jam 45 minit dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan setakat ini.

Katanya, mematuhi had laju sepanjang perjalanan akan membuatkannya mudah berasa mengantuk.

Seorang lagi pemandu, Burhan Abdharu bagaimanapun mendakwa, kebanyakan punca kemalangan berlaku disebabkan pemandu yang tidak cukup tidur.

Menurut CNA, pemandu bas juga tidak kisah memandu laju pada masa-masa tertentu seperti musim perayaan kerana mereka dibayar mengikut jumlah perjalanan.

picture3

Burhan (kiri) bercakap sesuatu kepada wartawan CNA mengenai sistem bas ekspres di Malaysia. — CNA

Kebanyakan pemandu merupakan pekerja kontrak itu dilaporkan akan memandu laju untuk mengejar lebih banyak perjalanan demi mendapatkan bayaran tinggi.

"Ada antara kami yang dibayar dengan bayaran rendah iaitu kira-kira RM210 untuk perjalanan dua hala antara Kuala Lumpur ke Singapura.

"Jadi, lebih banyak perjalanan, lebih tinggi bayaran," menurutnya.

Tambah Burhan, bayaran itu juga perlu dibahagi dua andai dia membawa pembantu pemandu bersama dalam perjalanan tersebut.

Dek kerana itu, dia memilih untuk tidak berbuat demikian di sebalik peraturan yang mewajibkan pemandu kedua disediakan untuk perjalanan melebihi 300 km. (Perjalanan KL ke Singapura ialah kira-kira 350 km).

Sementara itu, perkara tersebut tidak dinafikan bekas kakitangan agensi pengangkutan awam darat Malaysia, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan yang berpendapat, terdapat syarikat bas ekspres bergelut mengaut untung untuk memajukan perniagaan mereka.

Wan Md Hazlin Agyl yang kini mengusahakan syarikat sendiri, Agyl and Partners, turut mendakwa industri bas ekspres di Malaysia turut berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang mendakwa ada sesetengah operator bas tidak kisah mengambil pemandu yang kurang bertauliah atau pernah dipecat kerana mengakibatkan kemalangan.

"Untuk menambah baik perkhidmatan, kerajaan — yang mengawal tambang bas ekspres ekonomi harus bekerjasama dengan pengendali terminal dan pengendali bas untuk menguruskan perkhidmatan selain membuat reka bentuk perkhidmatan yang betul”, kata Agyl.

picture10

Liew Teck menjelaskan cara penumpang untuk menuntut pampasan jika terlibat dalam kemalangan bas. — CNA

CNA pada masa sama turut melaporkan, ada juga sesetengah syarikat pengendalian bas yang memantau pemandu mereka seperti SuperNice Express yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Syarikat tersebut memiliki GPS Room di ibu pejabatnya yang menyediakan beberapa ciri keselamatan seperti sistem amaran apabila pemandu tidak memakai tali pinggang keledar, sensor untuk mengesan kenderaan dalam jarak dekat yang sekali gus mengaktifkan brek ketika waktu kecemasan.

Selain itu, terdapat juga kamera secara langsung bagi memantau pemandu, kata Roy Chew, Pengerusi Unimax Group, yang memiliki SuperNice.

Sementara itu, seorang peguam firma mewakili warga Singapura, Liew Teck Huat berkata, beberapa penumpang Singapura yang telah membeli insurans menghadapi masalah untuk menuntut pampasan daripada pengendali bas selepas terlibat dalam kemalangan.

Dalam pada itu, seorang pegaum, Liew Teck menjelaskan, cara yang betul untuk membuat pampasan adalah dengan memfailkan tuntutan terus di bawah polisi syarikat insurans dan tidak membuang masa pergi ke syarikat atau operator bas.

"Mereka bukan syarikat insurans, jadi mereka tiada keperluan membayar tuntutan atau memproses tuntutan itu.

"Peguam pula diperlukan hanya apabila berlaku kemalangan melibatkan kecederaan serius kepada penumpang apatah lagi kematian," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram