Pemandu syarikat maut akibat insiden pokok tumbang, waris layak terima faedah PERKESO


  • Massa
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Dari kiri: Edmund Cheong, Steven Sim, Dr. Zaliha Mustafa dan Kamarulzaman Mat Salleh (hujung kanan) turut hadir menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Md Rizal.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) sangat prihatin dengan keluarga mangsa korban yang terlibat dalam nahas pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu.

Ia selepas PERKESO memberi faedah kepada keluarga mangsa, Md Rizal Atan, 47, yang maut di tempat kejadian semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya pada Jumaat.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata, hasil semakan oleh Skuad PERKESO Prihatin mengesahkan bahawa Md Rizal yang disahkan meninggal dunia sewaktu insiden berkenaan merupakan pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

BACA LAGI: PERKESO tak ketepi golongan terpinggir, buka lebih banyak ruang pembangunan karier masyarakat

BACA LAGI: Pemandu e-hailing mangsa insiden pokok tumbang terima manfaat PERKESO

DSC04147

Steven Sim (kiri) dan Dr. Zaliha Mustafa (kedua kiri) menenangkan isteri mangsa (tengah) selepas menerima bantuan daripada PERKESO.

"Sebagai pencarum PERKESO, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang dianggarkan berjumlah RM3,400 oleh PERKESO selepas mangsa layak menerima faedah menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4.

"Norpahidah binti Mat Zaman, balu kepada Allahyarham Md Rizal bakal menerima FOT untuk sepanjang hayat, manakala empat anaknya yang masing-masing berumur antara tiga hingga 18 tahun diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun.

"Jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama," katanya dalam satu kenyataan.

DSC04242

Edmund Cheong (kiri) turut menyatuni keluarga mangsa.

Tambahnya lagi, keprihatinan majikan Md Rizal dalam melunaskan tanggungjawab untuk mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga mangsa.

"Kesedaran majikan dalam melunaskan tanggungjawab untuk

mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga pekerjanya melalui episod hitam ini.

"Menerusi perlindungan jaringan keselamatan sosial pemberian PERKESO menerusi sokongan kewangan," jelasnya.

DSC04140

Steven Sim bersama anak mangsa ketika menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin PERKESO.

Turut hadir pada ziarah prihatin ini Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang, serta Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim.

Dalam ziarah prihatin ini juga Steven Sim turut menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin PERKESO kepada waris keluarga dalam program Ziarah Prihatin ke kediaman waris di Shah Alam, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram