BURGER tepi jalan memang menjadi makanan kegemaran rakyat Malaysia. Malah ia seakan-akan diangkat menjadi ikon salah satu street food tarikan pelancong luar apabila datang ke Malaysia.
Apabila tiba saja di Malaysia, pasti ramai pelancong luar ingin mencuba burger itu yang menjadi kebanggaan rakyat kita. Jelas sekali, rasa unik dan kesedapannya pasti menarik selera sesiapa saja.
Lazimnya, burger terkenal dengan jolokan burger Ramly itu dijual di gerai-gerai kecil sama ada dekat kaki lima, tepi jalan atau kawasan perumahan. Perniagaan ini selalunya diusahakan oleh rakyat tempatan terutamanya mereka yang berbangsa Melayu.
Namun tanpa disangka, perusahaan burger tepi jalan dilihat sudah ada pengusaha dalam kalangan warga asing yang berada di negara ini.
Dalam satu rakaman tular di X (Twitter), terdapat sebuah gerai burger yang diusahakan oleh pekerja asing dipercayai warga Bangladesh.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita tuntut penjelasan, kecewa komponen 'back axle' putus tiba-tiba ketika lalu selekoh
Burger bersalut telur dengan keju yang dihasilkan peniaga warga asing berkenaan.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan peniaga tersebut dilihat begitu mahir mengusahakan burger dengan cara mereka menghasilkannya serupa dengan apa dijual oleh peniaga tempatan.
Walaupun sesiapa saja boleh menjual burger, mungkin ada yang tidak senang melihat situasi sedemikian. Pada mereka, peluang perniagaan yang sering dilakukan oleh peniaga Melayu telah mula 'dijajah' oleh warga asing.
"Macam mana warga asing boleh berniaga, kata masuk dengan pasport hanya untuk kerja buruh tapi macam mana boleh buat perniagaan?
"Dimanakah penguat kuasa? makan gaji buta ke?," soal warga maya menggunakan nama @KS8_ED.
"Karpet mereka dah conquer, sekarang burger Ramly pula? Macam tak ada tempat lain nak beli. Baik beli dengan warga tempatan daripada dengan mereka ni," ujar Nora pula.
Akan tetapi, ada juga yang tidak kisah sekiranya perniagaan burger mula disertai warga asing andai mereka mematuhi undang-undang?
"Biarlah orang nak cari makan, janji secara halal dan ikut undang-undang," kata warga maya bernama Adham Cairel.
"Jual burger pun nak gatekeep ke?," soal Azam Roslan pula.
"Dalam bisnes tak ada istilah bangsa mana punya. Kau boleh dan reti cari peluang kau buat," ujar Dr. Asmara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram